ANFAAL menjawab soalan pada Sidang DUN Selangor di Dewan Undangan Negeri Selangor. FOTO Faiz Anuar
ANFAAL menjawab soalan pada Sidang DUN Selangor di Dewan Undangan Negeri Selangor. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Selangor merekodkan seramai 588 kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah terbabit pelbagai jenayah termasuk merusuh, mencuri, rogol, bunuh, mencederakan, pecah rumah sebagaimana laporan terkini Polis Diraja Malaysia (PDRM), tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, berdasarkan maklumat daripada PDRM, jenayah yang kerap dilakukan ialah merusuh membabitkan 138 orang dan curi seramai 112 orang.

"Pada tahun lalu, berdasarkan statistik yang diberikan oleh PDRM seramai 588 kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah terbabit pelbagai kesalahan jenayah.

"Bagi kategori kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun, sebanyak 11 kes dilaporkan termasuk rogol, curi dan pecah rumah.

"Bagi kanak-kanak berumur 13 hingga 18 tahun membabitkan 577 kes yang mana kes merusuh paling tinggi sebanyak 138 kes manakala kes curi sebanyak 112," katanya menjawab pertanyaan berhubung keselamatan dan perlindungan kanak-kanak di Selangor pada Sidang Dewan Negeri Selangor ke-15 di Wisma DUN Selangor, di sini, hari ini.

Anfaal berkata, statistik jenayah penderaan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 adalah sebanyak 156 kes manakala pengabaian sebanyak 190 kes mengikut Seksyen 31, 32, 33 dan 48 Akta Kanak-Kanak 2001.

"Bagi kes keganasan seksual terhadap kanak-kanak pula sebanyak 146 kes mengikut Seksyen 5, 8, 10, 11, 12, 14 dan 15 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak," katanya.

Katanya, populasi kanak-kanak di Selangor di bawah umur 18 tahun adalah 1.9 juta orang mewakili hampir satu pertiga populasi penduduk di negeri ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sudah membangunkan Dasar Pembangunan Kanak-Kanak Negeri Selangor & Pelan Tindakan 2022-2025 yang dilancarkan pada Mei tahun lalu.

"Menerusi tema 'Anak Selangor Anak Kita', Dasar Pembangunan Kanak-Kanak Negeri Selangor bermatlamat untuk mewujudkan golongan kanak-kanak yang terpelihara daripada sudut hak, kebajikan, akses kepada sumber dan pembangunan potensi.

"Ini mengambil kira peranan semua pihak berkepentingan termasuk ibu bapa, pemimpin komuniti, institusi berkaitan dan agensi kerajaan dan memastikan tiada satu pun kanak-kanak yang ketinggalan atau tercicir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 1:17 PM