NAPISAH melihat daun pokok bendi yang layu kerana musim panas yang melampau. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
NAPISAH melihat daun pokok bendi yang layu kerana musim panas yang melampau. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Seorang wanita kerugian besar apabila kira-kira 3,000 pokok bendi yang ditanam layu berikutan fenomena El Nino yang melanda sejak awal Februari lalu.

Pokok bendi yang sepatutnya mengeluarkan hasil lebih 20 kilogram (kg) bendi sehari kini hanya mengeluarkan lima hingga 10 kilogram sahaja.

Napisah Mamat, 56, dari Kampung Bukit Guntong, Manir berkata, pokok bendi yang ditanam bersama anaknya, Nor Hisyam Abdul Razak, 35, kini berdepan masalah kesuburan.

"Daun pokok bendi layu dan sebahagiannya hampir mati kerana cuaca yang terlalu panas.

"Situasi itu menyebabkan pengeluaran bendi terbantut dan kualiti bendi tidak mencapai piawaian yang sepatutnya.

"Pelbagai usaha sudah dijalankan bagi mengatasi masalah itu termasuk menempatkan pokok di bawah rumah hijau, namun tidak berjaya," katanya ditemui, hari ini.

Tambahnya, pokok bendi disiram tiga hingga empat kali sehari bagi memastikan pokok kekal segar dan tidak kekeringan.

"Sepatutnya, proses menyiram pokok hanya dijalankan satu hingga dua kali sehari tetapi cuaca panas melampau memaksa saya menyiramnya secara kerap.

"Saya bimbang pokok bendi yang sedang mengeluarkan hasil itu mati kekeringan, oleh itu, kami sentiasa menyiramnya," katanya.

Menurutnya, sejak 2019 dia bergiat dalam pertanian dan pernah menanam pelbagai tanaman lain termasuk cili merah, lobak putih dan terung namun tidak pernah berdepan masalah seperti itu.

"Jika diikutkan, bendi yang paling lama ditanam kerana lasak tetapi musim panas melampau menyebabkan ia turut terjejas seterusnya tidak memberikan pulangan yang sepatutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 1:01 PM