Mawla Amin
Mawla Amin
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak menerima sebarang dokumen berhubung nasab 'Mawla Amin' sekali gus menafikan dakwaan pihak tertentu.

Penafian disiarkan di Facebook (FB) rasmi agensi itu hari ini, susulan kenyataan yang dibuat oleh pihak Nur Al Mustafa Malaysia dalam sidang media yang diadakan berhubung nasab 'Mawla Amin'.

Mereka mendakwa sudah mengemukakan bukti dokumen berkaitan kepada pihak Jakim.

Jakim bagaimanapun tidak menerima sebarang dokumen sebagaimana yang dinyatakan.

Sebelum ini, Harian Metro secara eksklusif melaporkan lelaki yang mendakwa warga Maghribi yang dikenali sebagai 'Mawla Mohamed Amin al-Hassani' mengaku mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW datang ke negara ini, dua tahun lalu anjuran sebuah madrasah.

Madrasah itu juga terpalit dengan kes salah laku yang membabitkan mudirnya memukul pelajar.

Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau kegiatan lelaki itu susulan laporan akhbar ini mengenai seorang mudir madrasah di Selangor yang aktif mempromosi Mawla Amin mengutip dana awam secara tidak sah selain cuba mewujudkan satu perkampungan Kerajaan 9 di Melaka sebagai persiapan akhir zaman kepada pengikutnya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, PDRM sedang memantau pergerakan 'Mawla Amin' dan pengikutnya termasuk madrasah itu yang beroperasi di Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 3:05 PM