Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Semua 10 pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam yang sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan kes pemerasan membabitkan wang tunai RM35,000 sudah ditukarkan ke beberapa IPD dalam Kontinjen Johor.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, tindakan itu diambil sementara siasatan terperinci dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan.

"Kes masih dalam siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan dan nasihat selanjutnya dalam masa terdekat.

"Setakat ini, mereka (suspek) sudah ditukarkan dalam Kontinjen Johor di IPD lain sementara siasatan dijalankan," katanya ketika sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang menunggu laporan analisis forensik dan penyata dari Bank Negara Malaysia (BNM) bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Katanya, kes akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebaik sahaja kertas siasatan dilengkapkan.

"Siasatan kes di peringkat akhir sementara menunggu laporan analisis forensik dan penyata daripada BNM.

"Ulasan dan cadangan daripada hasil siasatan akan dikemukakan ke Bahagian Pendakwaan & Undang-Undang (D5) Bukit Aman terlebih dahulu sebelum diangkat ke Jabatan Peguam Negara," katanya.

Awal bulan ini, seorang tukang cuci wanita berusia 41 tahun membuat laporan polis mendakwa seorang anggota polis memintanya RM40,000 bagi membebaskan adiknya yang ditahan berkaitan kes dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 12:06 PM