RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO tular
RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO tular
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Anggota juruiring bermotosikal yang menahan aliran trafik menyebabkan kenderaan berat tiba-tiba berhenti akan disiasat Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya sudah mengarahkan JIPS untuk menjalankan siasatan berhubung kejadian.

"Pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sudah menyerahkan kes berkenaan kepada kontinjen Kuala Lumpur untuk menjalankan siasasatan.

"Justeru, polis kontinjen Kuala Lumpur menerusi JIPS akan menjalankan siasatan dan tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kejadian itu tular selepas satu klip berdurasi 35 saat dipercayai rakaman kamera papan pemuka kenderaan berat berkenaan dimuat naik di media sosial.

Rata-rata pengguna media sosial menyifatkan tindakan juruiring terbabit sebagai berbahaya memandangkan kenderaan berat secara amnya memerlukan jarak sesuai untuk memberhentikan kenderaan.

Tindakan memberhentikan kenderaan secara tiba-tiba dikhuatiri boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya atau lebih parah berlaku kematian.

Berdasarkan tarikh pada rakaman, kejadian dipercayai berlaku pada Selasa lalu di susur keluar sebuah lebuh raya memaparkan juruiring berkenaan menahan dua motosikal dan kenderaan berat dipercayai lori.

Video berkenaan yang dikesan tular sejak semalam kini sudah mencecah jutaan jumlah tontonan di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 1:37 PM