ZULKAFPERI pada sidang media di Perkarangan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tanjong Karang hari ini. FOTO Bernama
ZULKAFPERI pada sidang media di Perkarangan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tanjong Karang hari ini. FOTO Bernama
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Ahli Parlimen Tanjong Karang, Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi memaklumkan pemecatan enam wakil rakyat Bersatu yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mungkin berlaku.

Perkara itu susulan parti terbabit akan meminda perlembagaan bagi mengambil tindakan undang-undang ke atas Ahli Parlimennya yang berbuat khianat pada Perhimpunan Agung Khas, 2 Mac ini.

Beliau turut menyifatkan tindakan itu dianggap sebagai 'tidak bijak' kerana Bersatu bakal kehilangan kerusi Parlimen yang dimenangi sebelum ini.

"Kalau mereka (Bersatu) pecat, akan hilang satu Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN). Saya akan jadi ahli Parlimen Bebas dan bebas ke mana nak pergi.

"Pemecatan tidak akan berlaku, peletakan jawatan pun tidak akan berlaku. Bodohlah sana (Bersatu) kalau pecat dan bodohlah saya kalau letak jawatan.

"Ini dua perkara yang tidak mungkin berlaku," katanya pada sidang media khas di Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Tanjong Karang, Taman Sahabat, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, parti itu akan meminda perlembagaan bagi mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyatnya yang berbuat khianat.

Wakil rakyat Bersatu yang didapati khianat boleh kehilangan kerusi.

Pada masa sama, Zulkafperi tidak menolak kemungkinan Bersatu akan menggantung keahliannya kerana tindakan membelakangkan parti.

"Saya tak perlu fikir isu lain. Sama ada parti ambil tindakan gantung saya sebagai ahli Bersatu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 11:38 PM