ZULKAFPERI (dua kanan) menyaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menandatangani plak pada program Jualan Termurah Madani dan Mini Karnival Kesihatan Parlimen Tanjong Karang di Taman Sahabat, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
ZULKAFPERI (dua kanan) menyaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menandatangani plak pada program Jualan Termurah Madani dan Mini Karnival Kesihatan Parlimen Tanjong Karang di Taman Sahabat, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Usaha meminda perlembagaan Bersatu pada Perhimpunan Agung Khas, 2 Mac ini dianggap sebagai cubaan menakut-nakutkan enam Ahli Parlimen yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini termasuk Ahli Parlimen lain dari parti itu yang sedang merancang untuk mengikut jejak langkah sama.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi berkata, beliau berpendapat tindakan itu 'bukan ancaman' kerana ia hanya mahu menyekat ahli parti daripada mengubah sokongan.

"Apa yang didakwa sahabat saya (Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal), ada lagi lima hingga lapan Ahli Parlimen yang akan mengubah sokongan kepada Anwar.

"Apa yang dilakukan ini sebahagian daripada agenda untuk menakut-nakutkan dan menyekat mereka yang berkira-kira untuk mengubah sokongan," katanya pada sidang media khas di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tanjung Karang di Taman Sahabat, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, parti itu akan meminda perlembagaan bagi mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyatnya yang khianat.

Wakil rakyat Bersatu yang didapati khianat boleh kehilangan kerusi.

Ia susulan keputusan mesyuarat MPT Bersatu pada 28 Januari bagi menghalang tindakan khianat dalam kalangan wakil rakyatnya daripada berulang pada masa depan.

Hamzah dilaporkan berkata, mesyuarat itu juga bersetuju mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana wakil rakyat yang khianat bagi maksud pengosongan kerusi dan Bersatu bersedia untuk berdepan pilihan raya kecil (PRK).

Mengulas lanjut, Zulkafperi berkata, pindaan itu yang didakwa bakal menjejaskan status beliau dan lima Ahli Parlimen lain tidak terpakai kepada mereka.

"Bagaimanapun, butirannya akan diserahkan kepada peguam kita untuk diuruskan. Tetapi perlembagaan yang nak diubah...patutnya yang ke depan dan yang ke belakang sepatutnya tidak terikat mengikut keadaan.

"Mungkin mereka boleh ubah apa-apa, tetapi akhirnya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) akan menetapkan sama ada pindaan itu boleh diterima atau boleh dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 10:15 PM