Gambar hiasan
Gambar hiasan
BERNAMA

Ipoh: Kes individu terperdaya dengan 'phone scam' atau penipuan melalui panggilan telefon nampaknya tidak bernoktah, kali ini seorang suri rumah di Taiping kerugian RM181,650 selepas menjadi mangsa sindiket itu.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata wanita berusia 55 tahun itu membuat laporan polis semalam selepas diperdaya sindiket kononnya penghantar barangan, pada Rabu lepas.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa dihubungi tiga individu berlainan pada awal Februari lepas yang memperdayanya dengan pelbagai dakwaan termasuk terbabit pengubahan wang haram.

"Mangsa menerima satu panggilan telefon daripada suspek pertama yang memperkenalkan diri daripada syarikat penghantaran barang dan memaklumkan ada bungkusan di dalamnya mengandungi tiga kad pengenalan, tiga pasport serta dua kad ATM yang dihantar mangsa ke Kuantan, Pahang.

"Mangsa kemudiannya bercakap dengan suspek kedua kononnya pegawai penghantaran barang yang menyatakan telah membuat satu laporan polis terhadap mangsa dan meminta mangsa merujuk laporan polis dalam aplikasi WhatsApp," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata panggilan telefon itu seterusnya disambung kepada seorang 'pegawai polis' yang memaklumkan bahawa mangsa terbabit dengan kes pengubahan wang haram sebelum disambungkan pula kepada seorang pegawai atasan berpangkat 'Datuk'.

"Suspek ketiga membuat panggilan video dengan mangsa kononnya mengambil keterangan dan mangsa terkejut apabila dikatakan telah menjual akaun bank kepada pengurus bank pada harga RM150,000 dan mangsa menafikannya selain memberi maklumat tiga akaun miliknya untuk disemak suspek.

"Suspek keempat pula menghantar kononnya salinan pengesahan kewangan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan meminta mangsa memasukkan kesemua wang simpanan mangsa ke dalam akaun yang diberikan suspek keempat jika tidak mahu wang mangsa dibekukan BNM," katanya.

Mohd Yusri berkata suri rumah itu yang dalam keadaan panik dan ketakutan memindahkan kesemua wang miliknya ke dalam empat akaun yang diberikan suspek keempat.

"Pengadu melakukan 20 transaksi kewangan ke empat akaun berbeza berjumlah RM181,650 tanpa mengesyaki dirinya terpedaya.

"Setelah menyedari ditipu, pengadu kemudian membuat laporan di balai polis berdekatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 4:19 PM