Azam Baki ketika ditemui media selepas Merasmikan Pejabat SPRM Cawangan Mersing dan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah di Dewan Jubli Intan Daerah Mersing hari ini. FOTO BERNAMA
Azam Baki ketika ditemui media selepas Merasmikan Pejabat SPRM Cawangan Mersing dan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah di Dewan Jubli Intan Daerah Mersing hari ini. FOTO BERNAMA
Mohamed Farid Noh


Mersing: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan bahawa pihaknya menuduh Tan Sri Muhyiddin Yassin terbabit dalam salah laku berhubung pemberian kontrak pembekalan dan penyelenggaraan kerajaan kepada Spanco Sdn Bhd (SPANCO).

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata beliau hanya membuat kenyataan umum dan tidak pernah mengaitkan Muhyiddin dalam kes berkenaan.

Azam turut mempersoalkan maksud penafian dibuat Muhyiddin semalam.

"Apa maksud dia (penafian Muhyiddin) sebenarnya?

"Saya hanya membuat kenyataan (isu SPANCO) apabila ditanya (media) sama ada beliau (Muhyiddin) akan dipanggil (memberi keterangan).

"Saya menyatakan tidak menafikan, mahu pun tidak menolak (panggil Muhyiddin beri keterangan) namun ia bergantung kepada pegawai penyiasat SPRM.

"Jadi saya sebenarnya tidak lagi mengatakan serta tidak membuat membuat sebarang andaian (mengaitkan Muhyiddin dalam isu SPANCO). Itu satu perkara biasalah bila kita membuat kenyataan tentang kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku (dalam siasatan SPRM)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pejabat SPRM Cawangan Mersing, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias dan Pegawai Daerah Mersing, Jamil Hasni Abdullah.

Semalam, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dilaporkan menafikan dakwaan beliau terbabit dalam salah laku berhubung pemberian kontrak pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan kepada SPANCO.

Bekas Perdana Menteri itu dilaporkan berkata, sehingga kini tohmahan jahat itu berlegar di media massa dan media sosial tanpa butiran lengkap bagaimana beliau terbabit dalam perkara terbabit dan salah laku berkenaan.

Mengulas lanjut, Azam berkata, SPRM akan memanggil Muhyiddin memberi keterangan, jika ada keperluan berbuat demikian bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

"Oleh sebab itu, saya katakan kalau ada keperluan, saya serahkan kepada pegawai penyiasat untuk memanggil sesiapa jua termasuk Muhyiddin.

"Khamis lalu, saya menyatakan beberapa saksi sudah dipanggil memberi keterangan termasuk bekas menteri kewangan yang terbabit dalam pemberian kontrak SPANCO.

"Saya juga ketika itu menyatakan tidak akan menolak memanggil sesiapa sahaja yang terbabit dalam kuasa meluluskan projek berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 1:07 PM