Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan berasingan di Sook, Keningau. FOTO IHSAN PDRM
Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan berasingan di Sook, Keningau. FOTO IHSAN PDRM
Juwan Riduan


Keningau: Dua lelaki maut manakala seorang parah dalam kemalangan berasingan membabitkan tiga motosikal di Jalan Sook Tulid, di sini, tengah malam dan awal pagi hari ini.

Kemalangan pertama berlaku jam 12.15 tengah malam di Kilometer 3, Jalan Sook Tulid membabitkan penunggang motosikal Honda 110CC dari arah Sook menuju ke Tulid.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, mangsa, Rain Dahap, 26, dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas ke sebelah kanan bahu jalan.

"Mangsa parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kemalangan kedua berlaku di Kilometer 5 Jalan Sook Tulid, jam 2 pagi.

Katanya, ia menyebabkan dua penunggang motosikal Honda FS150FJ, Juanis Uvil, 30 maut, manakala penunggang motosikal Modenas 118CC lelaki berusia 23 tahun parah di muka dan badan.

"Siasatan mendapati kedua-dua motosikal berada di laluan sama dari arah Sook menuju ke Tulid.

"Sebaik tiba di lokasi, kedua-dua motosikal berkenaan dipercayai gagal mengawal motosikal yang ditunggang selepas melalui selekoh dan terbabas," katanya.

Yampil berkata, akibat kejadian itu, Juanis parah di bahagian kepada dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Sementara penunggang Modenas 118CC parah di muka dan badan sebelum dihantar ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.

"Kedua-dua kes kemalangan berkenaan masih diteruskan dan bedah siasat akan dilakukan hari ini," katanya.

Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 11:03 AM