TIONG (kanan) nafi memecat Ammar sebaliknya pegawai itu diturunkan pangkat kepada Timbalan Ketua Pengarah. FOTO arkib NSTP
TIONG (kanan) nafi memecat Ammar sebaliknya pegawai itu diturunkan pangkat kepada Timbalan Ketua Pengarah. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Selangor: Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali menjelaskan bahawa bidang kuasa untuk melantik dan menamatkan perkhidmatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia adalah di bawah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Beliau berkata, perkara itu dijelaskan dalam Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 (Akta 481).

"Sebenarnya bidang kuasa untuk melantik Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia adalah di bawah kuasa Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, di bawah Akta 481 iaitu kuasa menteri untuk melantik dan menamatkan perkhidmatannya.

"Kadang-kadang kita perlu beri penjelasan kepada rakyat kerana saya difahamkan isu ini berlaku dan ditularkan, dalam surat pewartaan yang dikeluarkan mengatakan ia di bawah bidang kuasa menteri berkenaan, jadi apa-apa penjelasan adalah daripada menteri terbabit," katanya selepas menghadiri raptai perasmian penutup Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor, hari ini.

Mohd Zuki berkata demikian bagi menjawab dakwaan berhubung pemecatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia Datuk Dr Ammar Abd Ghapar susulan penularan surat bertarikh 22 Februari berkenaan notis penamatan pelantikannya berkuat kuasa Isnin depan.

Surat berkenaan antara lain memaklumkan penamatan perkhidmatan Ammar itu dilakukan selaras dengan peruntukan subseksyen 10 (1) Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 (Akta 481) yang dibaca bersama dengan peruntukan Seksyen 47 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388).

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menafikan Ammar dipecat daripada jawatan itu, sebaliknya beliau diturunkan pangkat kepada Timbalan Ketua Pengarah atas faktor kemerosotan prestasi Ammar yang disifatkan beliau sebagai tidak memuaskan, selain tidak mencapai standard ditetapkan walaupun telah beberapa kali dinasihat dan diberikan peluang.

Sementara itu, Mohd Zuki memaklumkan setakat dua hari berlangsungnya Program Madani Rakyat Zon Tengah, lebih 55,000 pengunjung hadir ke program berkenaan dan menjangkakan lebih ramai akan hadir bagi memeriahkan Konsert Showcase Kita Selangor 2024 yang diadakan malam ini.

"Terdapat 163 perkhidmatan yang telah dibawa dalam program ini dan kita boleh lihat sehingga petang, walaupun sudah tutup masih ada pengunjung yang masuk ke kawasan ini dan membuktikan perkhidmatan yang dijalankan terlaksana," katanya.

Mohd Zuki berkata, Program Madani Rakyat yang diadakan di zon tengah ini ialah kerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor dengan objektif untuk membawa perkhidmatan kerajaan terus secara langsung kepada rakyat.

Beliau berkata, program itu akan diteruskan di tempat lain yang telah diputuskan mengikut zon iaitu zon utara di Pulau Pinang, zon selatan di Johor dan zon timur di Pahang.

Program Madani Rakyat Zon Tengah yang berlangsung selama tiga hari dibuka dari 9 pagi hingga 10 malam itu ialah kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan Madani, yang menjadi wadah masyarakat mendapatkan maklumat tentang perkhidmatan kerajaan Persekutuan, negeri dan agensi berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 10:04 PM