Dr Mohd Na'im Mokhtar
Dr Mohd Na'im Mokhtar
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Kumpulan atau individu yang merasakan tertipu dengan pakej umrah perlu membuat laporan supaya tindakan susulan dapat diambil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, aduan daripada orang awam diperlukan supaya siasatan daripada pihak berkuasa boleh dilaksanakan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung laporan Harian Metro berhubung terdapat individu yang merasakan tertipu dengan pakej umrah kononnya bersama seorang lelaki keturunan Nabi Muhammad SAW yang dikenali sebagai Mawla Mohamed Amin.

Mohd Na'im berkata, orang ramai jangan mudah terpengaruh dengan pangkat, pengaruh dan gelaran seseorang.

"Kita jangan terpengaruh atau taksub sehingga tidak melihat kepada kebenaran, ramai daripada kalangan umat Islam berhasrat untuk menunaikan umrah, namun tertipu.

"Ini berlaku, kadang-kadang wujud kes penipuan pakej umrah ini bukan Mawla (Mawla Mohamed Amin) pun, tetapi penipuan ini tetap berlaku.

"Saya sarankan supaya mereka melakukan semakan terlebih dahulu dengan agensi berkaitan termasuk Tabung Haji (TH) sama ada penganjur umrah itu mempunyai sijil serta pengiktirafan," katanya ketika ditemui, selepas merasmikan Majlis Akad Nikah Rahmah 2024, sebentar tadi.

Terdahulu, Metro Ahad minggu lalu memaparkan pendedahan eksklusif berhubung sebuah madrasah yang mempromosikan individu didakwa warga Maghribi berkenaan.

Pendedahan secara bersiri itu juga mendedahkan bahawa lelaki dikenali Mawla Mohamed Amin bukanlah keturunan Nabi Muhammad SAW seperti yang didakwa.

Kelmarin, Mohd Na'im dilaporkan berkata, kerajaan sudah memantau gerakan seorang mudir madrasah yang didakwa secara aktif mempromosikan 'Mawla Amin' sejak empat bulan lalu.

Pendedahan eksklusif akhbar ini turut turut menerima reaksi daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bahawa individu terbabit sering keluar masuk Malaysia dengan menggunakan pas lawatan sosial, dan berada di negara ini selama 90 hari.

Bagaimanapun, beliau berkata kerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilakukan bagi memantau pergerakan individu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 12:37 PM