PENJUAL haiwan peliharaan, Ryan Cheah, 26, yang cedera akibat ditetak dalam kejadian samun di Bandar Utama, Petaling Jaya pada 18 Februari lalu.
PENJUAL haiwan peliharaan, Ryan Cheah, 26, yang cedera akibat ditetak dalam kejadian samun di Bandar Utama, Petaling Jaya pada 18 Februari lalu.
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Seorang penjual haiwan peliharaan bukan sahaja kehilangan dua kucing bernilai RM10,000, malah menerima 36 jahitan akibat ditetak dengan parang dalam kejadian samun di Bandar Utama, di sini, 18 Februari lalu.

Menceritakan insiden itu, mangsa, Ryan Cheah, 26, berkata, dia pertama kali bertemu dengan penjenayah yang menyamar sebagai pelanggan itu pada 10 Februari.

"Lelaki itu datang ke rumah saya di daerah ini pada hari pertama sambutan Tahun Baru Cina (10 Februari lalu) dan membeli seekor kucing.

"Beberapa hari kemudian, lelaki itu menghubungi saya semula dan memaklumkan berminat membeli dua lagi kucing dan ingin berjumpa saya di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah pada 18 Februari lalu," katanya ketika dihubungi, semalam.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak sedap hati dengan lokasi pertemuan dipilih oleh lelaki berkenaan dan memutuskan untuk bertemu di perhentian bas berhampiran.

"Saya pergi ke sana bersama teman wanita jam 7.30 malam hari kejadian dan kami perasan kereta pelanggan itu remuk seperti baru terbabit kemalangan.

"Saya kemudian bercakap dengan individu itu dan masuk ke dalam keretanya. Ketika itu, dia mengeluarkan pisau dan meminta saya memindahkan semua wang ke dalam bank miliknya," katanya.

Ryan berkata, teman wanitanya tidak menyedari dia disamun kerana tidak mengetahui apa yang berlaku di dalam kenderaan itu.

"Seorang lagi penjenayah pula diarahkan untuk mengambil dua kucing masing-masing daripada baka 'British Short Hair' dan 'Muchkin' daripada teman wanita.

"Ketika itu, saya ambil peluang untuk melarikan diri dengan membuka pintu kereta dan cuba keluar, namun lelaki berkenaan mengacukan parang dan menetak saya.

"Namun, saya berjaya keluar dari kenderaan menyebabkan mereka terus beredar dari lokasi," katanya yang cedera pada tangan serta kaki akibat ditetak.

Dia yang turut kehilangan telefon bimbit dalam insiden itu memaklumkan, dia masih trauma akibat kejadian itu.

"Selain trauma, saya juga bimbang dengan keselamatan diri kerana penjenayah itu tahu lokasi rumah saya memandangkan dia pernah datang ke sana sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan tangkapan sudah dibuat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 4:34 PM