Keberadaan lima bungkusan plastik berwarna hitam di laluan keselamatan PB19 Padang Besar membongkar kepada penemuan 98.3 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM3,243,900 di laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar. FOTO IHSAN PDRM PERLIS
Keberadaan lima bungkusan plastik berwarna hitam di laluan keselamatan PB19 Padang Besar membongkar kepada penemuan 98.3 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM3,243,900 di laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar. FOTO IHSAN PDRM PERLIS
Oleh Aizat Sharif


Padang Besar: Lima bungkusan plastik berwarna hitam yang ditemui di laluan keselamatan PB19, di sini, Isnin lalu, didapati mengandungi 98.3 kilogram (98.3 kg) dadah jenis syabu bernilai RM3,243,900.

Kejadian berlaku jam 3 pagi ketika sepasukan polis terdiri daripada seorang pegawai dan lapan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 Bidor, Perak menjalankan rondaan Op Taring Wawasan Kedah/Perlis di laluan keselamatan itu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, ketika rondaan dilaksanakan, anggota PGA menemui lima bungkusan plastik hitam dibiarkan di kawasan itu.

"Apabila diperiksa, terdapat beberapa guni berwarna putih diletakkan dalam plastik hitam itu.

"Pemeriksaan selanjutnya di dalam guni berkenaan menemui 93 peket teh Cina berwarna kuning di mana isinya pula mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 98.3 kg.

"Sebelum itu, anggota PGA membuat pemantauan dan pemerhatian selama tiga jam di laluan terbabit dan mendapati tiada sebarang pergerakan individu yang menghampiri plastik berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, syabu berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk siasatan lanjut.

"Kita percaya syabu itu cuba diseludup ke negara ini menggunakan 'laluan tikus' menerusi lubang pagar keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di kawasan Padang Besar yang sudah dipotong oleh anggota sindiket penyeludupan.

"Kita percaya syabu ini adalah untuk pasaran bahagian utara Semenanjung negara dan jumlah 98.3 kg syabu ini boleh digunakan oleh 400,000 pengguna dadah di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 4:23 PM