SEBAHAGIAN daripada tujuh individu didenda RM1,000 sehingga RM4,500 atas tuduhan mencederakan tiga orang lelaki. FOTO Ghazali Kori
SEBAHAGIAN daripada tujuh individu didenda RM1,000 sehingga RM4,500 atas tuduhan mencederakan tiga orang lelaki. FOTO Ghazali Kori
Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Seorang penjawat awam antara tujuh individu didenda RM1,000 sehingga RM4,500 atas tuduhan mencederakan tiga lelaki ketika perlawanan Liga Bolasepak Terengganu (TFL), bulan lalu.

Tertuduh, Ahmad Zaim Zahirulhaq Roslan, 24, Muhamad Supian Al Shaari, 29, Mohd. Zulkifli Abdullah, 36, Mohd. Hazwani Ab. Karim, 32, Tuan Faiz Hakimie Tuan Rosli, 29, Ahmad Najmie Adnan, 34, dan Wan Muhamad Aidid Ghazali, 22, turut berdepan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Kesemua mereka didenda selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood dan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd. Shukri, di sini, tadi.

Muhamad Supian didenda RM4,500 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan, Mohd Zulkifli didenda RM3,000 atas dua pertuduhan manakala yang lain didenda RM1,500.

Manakala penjawat awam, Ahmad Najmie, didenda RM1,000.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada tiga lelaki berusia 18, 19 dan 36 tahun.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu ketika satu perlawanan TFL di Padang Sintetik, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, jam 11 pagi, 12 Januari lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 KK.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad dan Nur Amalina Najwa Mohd Ali manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Muhammad Nadzir Abdullah.

Media sebelum ini melaporkan insiden pergaduhan ketika aksi liga amatur itu berlangsung.

Tertuduh dikatakan mencederakan mangsa dengan menghantuk menggunakan kepala, memukul, menumbuk dan memijak mangsa menyebabkan kecederaan di bahagian dada, bahu dan muka.

Kejadian berkenaan turut tular di media sosial dan mendapat pelbagai kecaman berikutan kekecohan yang berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 4:06 PM