GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, memberi amaran kepada semua majikan supaya tidak sewenang-wenangnya memotong gaji pekerja kecuali potongan dibenarkan dalam Akta Kerja 1955.

Beliau berkata, Seksyen 24 Akta Kerja 1955 sudah menetapkan bahawa tiada potongan boleh dibuat majikan daripada gaji seorang pekerja selain daripada yang terkandung dalam akta berkenaan.

"Saya sudah tegaskan bahawa majikan tidak boleh memotong gaji seorang pekerja mengikut Seksyen 24 Akta Kerja kecuali potongan yang dibenarkan seperti caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) dan cukai pendapatan.

"Jadi selain daripada itu, majikan tidak boleh potong gaji tak kira kedai apa, syarikat besar atau kecil, anda tidak boleh potong gaji kecuali dibenarkan menerusi Akta Kerja," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Kesuma Madani Tahun Baharu Cina Kementerian Sumber Manusia di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan rangkaian restoran ramen popular di negara ini mengenakan denda kepada pekerja termasuk memotong gaji mereka hanya kerana mengambil cuti sakit, pergi ke tandas dan meminum air ketiga bertugas.

Kelmarin, Steven ketika ditemui di ibu negara memaklumkan, rangkaian restoran terbabit boleh dikenakan tindakan kerana tindakan mereka bertentangan dengan Akta Kerja.

Katanya, pekerja yang berdepan diskriminasi itu dinasihatkan membuat laporan rasmi kepada Jabatan Tenaga Kerja supaya tindakan dapat diambil.

Mengulas lanjut, Steven berkata, jika benar pekerja terbabit berdepan isu disiplin, ia seharusnya ditangani secara dalaman mengikut tatacara yang dibenarkan.

"Anda tidak boleh potong gaji hanya kerana disebabkan tindakan disiplin kerana tindakan disiplin mesti melalui proses inkuiri dalaman sesebuah syarikat.

"Jadi saya minta sesiapa yang mempunyai maklumat pelanggaran Akta Kerja, sila tampil buat laporan rasmi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 3:13 PM