Pengarah Program Teknologi Baja MARDI, Dr. Rosliza Jajuli (tiga dari kiri) bersama Dr. Ganisan Krishnen (tiga dari kanan) menyerahkan benih pokok pisang berangan dan inokulan ISR Gladiator 1.0 kepada Muhammad Amin Fakhri (tengah) di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut.
Pengarah Program Teknologi Baja MARDI, Dr. Rosliza Jajuli (tiga dari kiri) bersama Dr. Ganisan Krishnen (tiga dari kanan) menyerahkan benih pokok pisang berangan dan inokulan ISR Gladiator 1.0 kepada Muhammad Amin Fakhri (tengah) di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut.
Noor Hidayah Tanzizi


Serdang: Pengusaha ladang di Jerantut, Pahang yang berdepan cabaran getir selepas tanamannya musnah ditenggelami banjir, baru-baru ini menerima bantuan 150 benih pisang berangan daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

Timbalan Pengarah Program Teknologi Baja Mardi Dr Ganisan Krishnen berkata, pihaknya menyumbangkan benih pisang hasil teknologi Kerintangan Sistem Teraruh (ISR) kepada Muhammad Amin Fakhri Ahmad Sukri di Kampung Bantal, Ulu Tembeling.

Menurutnya, pihaknya turut membantu memulihkan pokok lama dengan memperkenalkan teknologi ISR (induced system resistance) bertindak sebagai baja bio bagi menggalakkan pertumbuhan vegetatif pokok selain mampu meningkatkan kerintangan pokok terhadap penyakit dan perosak.

"Kami juga memberi penerangan penggunaan teknologi itu dan membuat demonstrasi dengan menginokulasi inokulan ISR, Gladiator 1.0 pada pangkal pokok dan petani didedahkan cara penanaman serta penjagaan pokok yang betul.

"Selain itu, kita turut bekalkan setengah tan kompos tinja ayam, baja NPK hijau, NPK biru, Christmas Island Rock Phosphate (CIRP) dan kapur (dolomite) untuk penanaman anak benih ISR," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, teknologi ISR dihasilkan melalui penyelidikan yang dijalankan oleh Mardi dengan menggabungkan teknologi ISR dan amalan perladangan baik, kawalan penyakit dan perosak serta amalan lepas tuai sedia ada.

"Penggunaan teknologi itu mampu meningkatkan hasil pisang sehingga 35 peratus kerana ia sudah diuji dan terbukti mampu mengawal penyakit darah pisang sehingga 92 peratus.

"Pendekatan ISR ini juga sesuai digunapakai untuk penghasilan pisang secara konvensional dan organik untuk kegunaan makan segar dan masakan," katanya.

Sementara itu, Muhammad Amin Fakhri berkata, dia akan memanfaatkan sumbangan benih pokok dan teknologi ISR yang diajar oleh pihak berkenaan dengan menyifatkan ia sangat membantu meringankan bebannya ketika ini.

"Sumbangan ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban keluarga, lebih-lebih lagi isteri baru melahirkan anak sulung perempuan kami akhir Januari lalu.

"Musibah yang melanda mungkin ada hikmahnya kerana bukan saja saya dapat benih pisang yang berkualiti tetapi lebih penting saya dapat ilmu penanaman dan penjagaan pokok yang baik bagi membolehkan saya menghasilkan pisang yang bermutu secara berterusan dalam jangka panjang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 3:09 PM