Keadaan terkini sebahagian enam buah rumah yang terbakar di Flat Sri Sabah, Cheras. FOTO AIZUDDIN SAAD
Keadaan terkini sebahagian enam buah rumah yang terbakar di Flat Sri Sabah, Cheras. FOTO AIZUDDIN SAAD
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Laporan penuh kebakaran yang memusnahkan lima kediaman di Flat Sri Sabah, Cheras di sini, sudah siap dan akan didedahkan dalam masa terdekat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Muhammad Salleh Abdul berkata, laporan siasatan kes itu sudah dilengkapkan dan akan dibentangkan kepada jawatankuasa khas.

"Laporan sudah siap dan kita akan maklumkan secara rasmi kepada media nanti.

"Laporan yang lengkap itu akan dibentangkan terlebih dahulu kepada jawatankuasa dalam tempoh dua minggu ini," katanya dalam sidang media pada Majlis Pelancaran Task Force Op Sri PA di Flat Sri Sabah, Cheras di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL, Ismadi Sakirin.

Dalam kejadian jam 9.30 malam, lima unit kediaman di blok 70 Flat Sri Sabah musnah dijilat api.

Tindakan pantas anggota JBPM Kuala Lumpur berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah dan tingkat lain.

Malah, kejadian juga tidak membabitkan kemalangan jiwa.

Susulan kejadian, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid dilaporkan berkata, siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah membabitkan insiden kebakaran terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 3:02 PM