Prof Emeritus Abdul Aziz melakukan pelepasan peserta konvoi ketika Program Pelepasan Program Jelajah Bemotosikal Ride To Khatam 3.0 di perkarangan KIAS, di sini, hari ini. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Prof Emeritus Abdul Aziz melakukan pelepasan peserta konvoi ketika Program Pelepasan Program Jelajah Bemotosikal Ride To Khatam 3.0 di perkarangan KIAS, di sini, hari ini. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Seramai 66 penunggang motosikal berkuasa tinggi berkonvoi bermula di perkarangan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) sehingga ke Singapura dalam misi khas menghabiskan 30 juzuk al-Quran.

Pegawai Korporat KIAS, Muhammad Amiri Ab Ghani berkata, Program Jelajah Bermotosikal Ride To Khatam 3.0 itu diadakan selama empat hari sehingga 25 Februari.

Katanya, menerusi program anjuran Bahagian Korporat KIAS dengan kerjasama Kelantan Bikers dan Pusat ZAG (Al-Quran Wal Qiraat) Singapura peserta konvoi akan menjelajah Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan berakhir Singapura.

"Peserta konvoi membabitkan pelbagai latar belakang termasuk pensyarah. Mereka akan singgah di 10 masjid terpilih.

"Di setiap persinggahan, kami akan membaca satu juzuk al-Quran bermula dengan juzuk ke 21 dan akan diraikan dengan meriah oleh kariah setempat. Program ini bermatlamat mengimarahkan masjid menjelang Ramadan," katanya pada Program Pelepasan Jelajah Bemotosikal Ride To Khatam 3.0 di perkarangan KIAS, di sini, tadi.

Terdahulu Rektor KIAS, Prof Emeritus Abdul Aziz Mohd Zain melakukan pelepasan peserta konvoi berkenaan.

Muhammad Amiri yang juga pengarah program berkata, antara masjid bakal disinggahi adalah Masjid Kampung Lak Lok, Besut; Masjid Abidin, Kuala Terengganu; Masjid Padang Kubu, Kemaman; Masjid Seri Fajar, Gambang; dan Masjid Muadzam Shah.

"Selain itu, kami juga akan singgah di Masjid Jamek Yamtuan Raden, Kuala Pilah; Masjid Ar-Rasyidin, Alor Gajah; Masjid Sultan Iskandar Dato Onn, Johor Bharu; Masjid An Najah, Johor Bharu; dan berakhir di Masjid Al-Islah Punggol, Singapura," katanya.

Katanya, program yang dianjurkan pada kali ini adalah susulan daripada Program Jelajah Bemotosikal Ride To Khatam 1.0 yang bermula pada tahun 2022.

"Pada tahun 2023, kami sekali lagi menganjurkan Program Jelajah Bemotosikal Ride To Khatam 2.0, namun hanya menjelajah ke negeri utara dan memulakan bacaan al-Quran bermula juzuk ke 11 hingga 20.

"Dalam jelajah kali ini, kami menyambung bacaan 10 juzuk bagi melengkapkan 30 juzuk kesemuanya dan berharap misi kali ini dipermudahkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 2:37 PM