ANTARA PATI yang ditahan penguat kuasa. FOTO Jabatan Imigresen
ANTARA PATI yang ditahan penguat kuasa. FOTO Jabatan Imigresen
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Terjun dan cuba bersembunyi di dalam longkang sedalam lima meter bagi mengelak ditangkap pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka.

Itu tindakan nekad beberapa pendatang tanpa izin (PATI) ketika serbuan 'Op Sapu' di pusat penempatan pekerja asing di Bandaraya Melaka, malam tadi.

Pengarah JIM Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, dalam serbuan itu ada warga asing terbabit berjaya ditahan semula dan ada yang berjaya meloloskan diri memandangkan keadaan persekitaran gelap dan berbahaya.

Menurutnya operasi penguatkuasaan itu berdasarkan kepada aduan diterima berkaitan lambakan warga asing yang bekerja di tapak pembinaan sekitar Taman Kota Laksamana.

"Kita memeriksa 117 warga asing dan hasilnya seramai 90 orang berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun ditahan yang terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita warga Indonesia, 75 lelaki warga Bangladesh, empat lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki Pakistan ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Ia termasuk tiada sebarang dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa di negara ini selepas pas tamat dan lain-lain kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155)/Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, satu saman kepada saksi dikeluarkan kepada pegawai keselamatan di premis terbabit dan majikan kepada pekerja asing akan dikesan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

"Operasi penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan bertumpu kepada lokasi 'panas' yang menjadi tumpuan warga asing.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap majikan jika menggaji PATI dan juga pihak yang cuba melindungi mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 2:23 PM