THANATHCA (dua kiri) dan Sunetr dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat. FOTO Alias Abd Rani
THANATHCA (dua kiri) dan Sunetr dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Ibu tunggal antara dua warga Thailand yang didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai tukang urut.

Thanathca Arunbunyachot, 45, dan Sunetr Yosaeng, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca secara berasingan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.

Mengikut pertuduhan, Thanathca dan Sunetr didakwa melanggar syarat pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai tukang urut di Pusat Bandar Baru, Ayer Hitam, dekat sini, pada jam 11.45 malam, 15 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 yang boleh dihukum penjara tidak melebihi enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh menerusi peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda paling minimum kerana perlu menanggung keluarga di Thailand manakala pihak pendakwaan menyaran agar hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 setiap seorang dan boleh dipenjara tiga bulan jika gagal membayarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 2:16 PM