Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pasukan khas ditubuhkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur bagi memeriksa tahap keselamatan kebakaran perumahan awam (PA) di sekitar pusat bandar.

Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Muhammad Salleh Abdul berkata, sebanyak 122 blok perumahan berusia lebih 30 tahun akan diperiksa menerusi Op Sri PA yang bermula hari ini sehingga 29 Februari.

Menurutnya, seramai 70 pegawai dan anggota dibahagikan kepada empat pasukan yang akan menjalankan pemeriksaan secara serentak setiap hari selama lapan hari.

"Usaha ini dilaksanakan susulan kes kebakaran membabitkan lima unit rumah di tingkat 17 Blok 70 Flat Sri Sabah yang berlaku pada 11 Februari lalu.

"Kita (JBPM) merangka satu tindakan proaktif bagi mengelak kejadian sama berulang dengan pemeriksaan keselamatan kebakaran terhadap perumahan awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berusia lebih 30 tahun.

"Sebarang penemuan atau kelemahan yang ditemui akan dimaklumkan kepada DBKL dan pihak pengurusan.

"Hasil laporan itu, tindakan segera akan diambil oleh pihak bertanggungjawab," katanya dalam sidang media pada Majlis Pelancaran Task Force Op Sri PA di Flat Sri Sabah, Cheras di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL, Ismadi Sakirin.

Mengulas lanjut, Muhammad Salleh berkata, penubuhan task force itu bertujuan memastikan PA memenuhi keperluan minimum keselamatan kebakaran dan sistem pemasangan keselamatan kebakaran sedia ada berfungsi serta berada dalam keadaan baik.

Malah, katanya, ia juga bagi memastikan penambaikan dalam aspek keselamatan kebakaran berdasarkan peruntukan undang-undang dan kesiapsiagaan penghuni dalam menghadapi sebarang insiden.

Sementara itu, Ismadi berkata, pihaknya bekerjasama dengan JBPM bagi memastikan sistem keselamatan kebakaran kesemua perumahan awam DBKL berada dalam keadaan baik.

Menurutnya, buat permulaan fokus diberikan kepada perumahan berusia lebih 30 tahun dan tindakan selanjutnya akan diambil berdasarkan laporan siasatan yang dikemukakan JBPM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 1:24 PM