Abdul Mustaqim (berbaju hitam) dan Khiu Jia Shun (berbaju putih) masing-masing mengaku bersalah di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini membabitkan dakwaan membuat laporan polis palsu konon disamun, dua minggu lalu. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Abdul Mustaqim (berbaju hitam) dan Khiu Jia Shun (berbaju putih) masing-masing mengaku bersalah di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini membabitkan dakwaan membuat laporan polis palsu konon disamun, dua minggu lalu. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Sungai Siput: Dua lelaki masing-masing mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dakwaan membuat laporan polis palsu kononnya disamun, dua minggu lalu.

Tertuduh, Abdul Mustaqim Mohd Tab, 31, dan Khiu Jia Shun, 40, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan membabitkan dua pertuduhan berasingan.

Atas pengakuan bersalah itu, Abdul Mustaqim diperintah menjalani perintah khidmat masyarakat (PKM) selama tiga bulan membabitkan tempoh masa tiga jam sehari.

Manakala Jia Shun dijatuhi hukuman denda RM2,000 selain diperintah menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa sengaja memberi keterangan maklumat bertulis yang diketahui ianya palsu kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Firdaus Abdullah dengan mengetahui bahawa dengan sedemikian menyebabkan penjawat awam itu menggunakan kuasa yang sah di sisi undang-undang untuk melakukan apa-apa perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh penjawat awam.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di Pejabat Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, di sini, 1.30 tengah hari pada 9 Februari lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R S Vitthiyeswary manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Hamzah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 1:00 PM