Individu didakwa sebagai Mawla Mohamed Amin.
Individu didakwa sebagai Mawla Mohamed Amin.
Oleh Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Pertubuhan Rabithah Alawiyah Malaysia (RAM) menegaskan tiada sebarang hubungan dengan individu dikenali Mawla Mohamed Amin.

RAM dalam kenyataannya menjelaskan pertubuhan itu tidak pernah terbabit sama sekali di dalam menjemput, menganjur dan melaksanakan apa juga bentuk aktiviti atau program dijalankan individu terbabit atau orang dikaitkan dengannya.

Pengerusi RAM, Datuk Syed Hood Syed Edros al-Aydrus berkata, sebagai pendukung utama dakwah habaib di negara ini, RAM menegaskan mereka tidak sewenang-wenangnya menjalankan aktiviti dengan mana-mana pihak tanpa membuat semakan teliti terhadap individu terbabit serta mendapat kebenaran agensi berkaitan.

"Pertubuhan ini tidak pernah terbabit atau menggalakkan, mendukung serta menyokong apa-apa usaha dijalankan mana-mana pihak atau individu membuat kutipan, pungutan derma dan apa saja permohonan sumbangan dikaitkan dengan habaib kecuali mendapat kebenaran pihak berwajib.

"Kami (RAM) ada hubungan rapat dengan Rabithah Alawiyah Indonesia (RAI) dan juga Darul Mustafa, Tareem, Yaman, menegaskan kami tidak melaksanakan apa juga aktiviti kecuali benar tepat dan sesuai dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta perundangan negara.

"Jabatan Hal Ehwal Nasab RAM tidak pernah menerima apa-apa permohonan perakuan nasab daripada individu terbabit (Mawla Mohamed Amin) dan jabatan ini tidak pernah terbabit dalam memperakukan apa-apa nasab keturunan individu berkenaan," katanya.

Syed Hood menyeru sebarang program yang menjemput habaib daripada luar negara untuk berbincang dan mendapatkan pandangan daripada RAM supaya tidak membawa fitnah.

Berita berkaitan:

JAIS halang semua aktiviti Mawla

Polis pantau Mawla, pengikut

Eksploitasi nasab suci Nabi

Mudir bina Kerajaan 9

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 10:00 AM