Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin (tengah) berkenan menghadiri Majlis Hijab Fashion Award 2024 di sebuah hotel malam ini. FOTO BERNAMA
Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin (tengah) berkenan menghadiri Majlis Hijab Fashion Award 2024 di sebuah hotel malam ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Petaling Jaya: Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berkenan berangkat menghadiri majlis Hijab Fashion Award 2024 yang berlangsung di sebuah hotel di sini malam ini.

Ketibaan baginda pada 8.17 malam diiringi oleh isteri Menteri Besar Selangor Datin Seri Masdiana Muhamad.

Editor Pengurusan Majalah Nona, Hijabista dan Mingguan Wanita Kiffy Razak berkata penganjuran program itu bagi mengiktiraf kejayaan wanita dalam bidang fesyen hijab dan pencapaian mereka mengubah landskap fesyen sopan di tanah air.

"Tujuan kami adalah untuk memberi pengiktirafan kepada usahawan wanita yang telah memberikan sumbangan besar dalam membentuk dan memajukan industri fesyen berhijab serta memberi inspirasi kepada generasi masa depan mengejar impian dalam bidang ini," katanya ketika berucap pada majlis itu.

Seramai 13 penerima anugerah pada majlis tersebut antaranya pempengaruh Muabellaz yang memenangi kategori Hijabista Influencer, Hijabista Styling (Didiyana Ehsan), Hijabista Most Glam(Rozita Che Wan), Hijabista Legend (Noor Kumalasari), Hijabista Achievement ( Vivy Yusof) dan Hijabista Inspirational (Maryam You Narae).

Pada majlis itu juga, jenama Leeyanarahman dinobatkan sebagai penerima Hijabista Fashion Brand Award sekali gus mengiktiraf kejayaan usahawan dan pengasas jenama itu iaitu Nur Liyana Abdul Rahman dalam membina empayar fesyen dan mencetus fenomena tersendiri dalam kalangan peminat fesyen hijab.

Majlis itu turut diserikan dengan peragaan koleksi fesyen sempena lebaran tahun ini daripada jenama Leeyanarahman dan pereka fesyen Datuk Radzuan Radziwill.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 11:23 PM