GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Pelaksanaan projek rintis pemanjangan waktu operasi klinik berdekatan hospital pada tahun lalu, telah diteliti dan permohonan untuk meneruskan pembayaran Elaun Lokum, sedang dalam pertimbangan Agensi Pusat.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan buat masa ini, pegawai perubatan yang diarah bertugas pada hari Sabtu dan Hari Kelepasan Am masih layak menuntut Elaun Lokum, manakala pada hari Ahad membabitkan waktu bekerja mulai jam 9 pagi hingga 1 petang, boleh menuntut cuti gantian tertakluk kepada kelulusan Ketua Jabatan.

Menurut kenyataan KKM projek rintis tersebut, telah dilaksanakan bermula 25 Mac hingga 31 Disember tahun lalu, selepas mengambil kira isu kesesakan di hospital.

"Dalam tempoh ini, pegawai perubatan yang bertugas pada hari Ahad diberi kelulusan khas secara bertempoh dalam projek rintis, bagi membolehkan Elaun Lokum dibayar sekiranya mereka diarah bertugas secara lokum.

"Selain itu, pegawai farmasi dan juru X-ray dalam kumpulan pengurusan dan profesional juga diberi pemanjangan Elaun Lokum pada kadar yang berbeza," menurut kenyataan itu.

Setelah mengambil kira isu kesesakan di hospital termasuk di Selangor, kerajaan menerusi Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR), bersetuju untuk KKM melaksanakan projek itu di klinik kesihatan yang berdekatan dengan hospital.

Klinik yang terpilih ialah Klinik Kesihatan Bandar Botanik, Klang (berdekatan dengan Hospital Tengku Ampuan Rahimah), Klinik Kesihatan Taman Ehsan, Gombak (Hospital Selayang) dan Klinik Kesihatan Ampang, Hulu Langat (Hospital Ampang).

"Bagi penyampaian perkhidmatan di klinik kesihatan, waktu operasi adalah mengikut waktu bekerja pejabat.

"KKM prihatin untuk memastikan rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan yang terbaik di klinik kesihatan," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 10:52 PM