JASMINE Loo.
JASMINE Loo.
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Bekas peguam syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo diberi lanjutan masa untuk memfailkan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan oleh syarikat berkenaan bagi menuntut dana berjumlah AS$8 bilion.

Selain Loo yang dinamakan sebagai defendan dalam tuntutan saman itu, syarikat terbabit turut menamakan Datuk Seri Najib Razak; bekas Pengarah Kewangan 1MDB, Terrence Geh Choh Heng; bekas Pengarah Eksekutif Casey Tang Keng Chee dan bekas Ketua Pengarah Pelaburan Vincent Beng sebagai defendan.

Turut dinamakan ialah bekas Ketua Pegawai Operasi Radhi Mohamad; bekas Pengarah Pelaburan, Kelvin Tan Kay Jim; dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil.

Dalam prosiding yang dijalankan secara e-Review hari ini, Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad membenarkan permohonan Loo yang dinamakan sebagai defendan ketiga untuk mendapatkan lanjutan masa berkenaan.

Mahkamah kemudian memerintahkan Loo memfailkan pembelaannya selewat-lewatnya pada tarikh pengurusan kes akan datang iaitu pada 22 April ini.

Loo yang berada dalam buruan polis selama lima tahun, menyerah diri pada 7 Julai tahun lalu, adalah saksi terakhir dalam kes jenayah penyelewengan dana 1MDB yang dihadapi oleh Najib.

1MDB dan empat anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited selaku plaintif, memfailkan saman itu pada 7 Mei 2021.

Ia adalah salah satu daripada 22 saman sivil yang difailkan untuk menuntut lebih AS$23 bilion bagi pihak 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International terhadap beberapa individu yang didakwa terbabit dalam skandal kewangan itu.

Menerusi writ saman berkenaan, kesemua plaintif antara lain mendakwa defendan melakukan pecah amanah, melanggar kewajipan staturori, menyalahgunakan kuasa, berkonspirasi serta menyeleweng dana 1MDB.

Najib, 70, kini sedang dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 5:59 PM