FOTO Ihsan Facebook KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim & KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
FOTO Ihsan Facebook KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim & KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menerima menghadap rombongan Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) di Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, rombongan itu diketuai Pengarah Serantau IFRC Alexander Matheou serta Pembantu Eksekutif dan Perhubungan Kepada Pengarah Serantau IFRC Loh Suh Fei.

Dalam perjumpaan lebih dua jam itu, Raja Permaisuri Agong yang juga Penasihat Diraja Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) turut menyentuh situasi di Gaza serta Syria, Yemen dan Sudan.

"Walaupun banyak yang dapat kita ketahui berkenaan keadaan di Gaza melalui media sosial, kita juga mesti ingat akan kesengsaraan akibat konflik bersenjata dan perang saudara di Syria, Yemen, Sudan serta negara di rantau Asia Pasifik.

"Penderitaan rakyat di negara-negara ini tidak patut diabaikan atau dilupakan," titah Seri Paduka.

Turut hadir isteri Menteri Besar Johor Datin Sharmin Fazlina Mohd Shukor, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat dan Kesihatan Kebangsaan BSMM Datuk Muhammad Rashidi Mohd Nor dan Ahli Jawatankuasa Khidmat Masyarakat dan Kesihatan Kebangsaan BSMM Lekha Nandey.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 5:48 PM