SAIFUDDIN Nasution Ismail. FOTO Bernama.
SAIFUDDIN Nasution Ismail. FOTO Bernama.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan anak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, dibentang kepada Jemaah Menteri pada 8 Mac ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jika kesemua cadangan pindaan tersebut diterima, pembentangan di Parlimen akan mengikut jadual.

"Tapi kalau ada pindaan dan sebagainya maknanya kita akan meneruskan mengikut perancangan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Disember tahun lalu di laporkan Jabatan Peguam Negara sedang merangka draf cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita rakyat tempatan dengan lelaki warga asing.

Draf tersebut dibuat bagi meminda Perkara 14(1)(b) untuk memasukkan perkataan ibu dengan tujuan membolehkan kewarganegaraan anak diperoleh secara kuat kuasa undang-undang.

Sementara itu, Saifuddin berkata, draf tersebut dipinda selepas mengambil kira input semua pihak melalui beberapa sesi libat urus termasuk bersama tokoh-tokoh individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang Perlembagaan, aktivis sosial, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan aktivis muda.

"Semua pandangan mereka kita ambil kira dan pada masa yang sama kita juga mendapat maklum balas daripada kerajaan Sabah, Sarawak dan juga Ahli Parlimen. Kita mendengar semua pandangan mereka dan kemudian kita ambil kira dalam input kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 5:42 PM