GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Seorang kontraktor dipenjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan membantu menyembunyikan wang hampir RM4 juta dalam urusan pembelian alat ganti mesin penjana elektrik milik sebuah syarikat beroperasi di Amerika Selatan, enam tahun lalu.

Muhammad Hafiz Abdul Halim, 36, dikenakan hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah atas tiga pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan, namun pemenjaraan berjalan serentak bermula tarikh dituduh iaitu pada 19 Disember tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Hafiz didakwa dengan curangnya menolong menyembunyikan wang berjumlah RM3.92 juta kepunyaan Syarikat Energy Think Tank dari Republic of Ecuador yang mana mengetahui wang itu bukan miliknya di sebuah bank di Jalan Sultan Ismail di sini pada 6, 8, dan 12 Mac 2018.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Syarikat Energy Think Tank membuat satu laporan polis kerana ditipu dalam urusan pembelian alat ganti mesin penjana elektrik.

Pada 2018, syarikat itu berurusan dengan syarikat Mitsubishi Corporation of Japan melalui e-mel [email protected] untuk pembelian alat ganti mesin penjana elektrik.

Syarikat Energy Think Tank menerima invois dari Yurina Kobayashi menuntut bayaran sebanyak AS$1.02 juta ke dalam akaun bank CIMB milik syarikat Mitsubi World Industry dengan membuat tiga transaksi pindahan wang.

Syarikat itu rasa ditipu selepas membuat semakan ke atas syarikat Mitsubishi Corporation of Japan berkaitan invois yang diterima dan syarikat Mitsubishi Corporation of Japan menafikan invois yang diterima oleh pengadu dan tiada pekerja bernama Yurina.

Syarikat Energy Think Tank mengalami kerugian sebanyak RM3.92 juta dan siasatan mendapati akaun bank dibuka di CIMB Bank di sini didaftar atas nama pemilik tunggal iaitu Mitsubi World Industry yang mana pemilik perniagaan adalah Muhammad Hafiz.

Tertuduh kemudian ditahan pada 7 September 2021 dan menyerahkan kad bank, nombor pin serta buku cek kepada seorang wanita dan tertuduh diminta mengeluarkan wang sebanyak tiga kali secara tunai di bank itu untuk diserahkan kepada seorang lelaki Nigeria.

Berikutan itu, tertuduh mengaku bersalah kerana menolong menyembunyikan wang berjumlah RM3.92 juta milik Syarikat Energy Think Tank.

Dalam prosiding hari ini, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Maidzatul Akmal Daud merayu supaya anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana insaf atas perbuatan yang dilakukan.

Menurutnya, Muhammad Hafiz perlu menyara isterinya yang juga seorang suri rumah dan anak kurang upaya termasuk ibu bapa yang uzur.

"Pengakuan bersalah ini menjimatkan masa mahkamah selain dia memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan itu di masa depan.

"Dia akan lebih hati-hati supaya tidak berkongsi maklumat peribadi dengan pihak lain," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amir Hannif Ahijman memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kes ini membabitkan tiga pertuduhan dengan nilai kerugian mencecah hampir RM4 juta.

"Ini juga akan memberi peringatan kepada tertuduh dan orang awam supaya tidak terbabit atau menyerah akaun kepada pihak ketiga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 5:26 PM