Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud.
Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud.
BERNAMA

Kuala Lumpur:Bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud disifatkan sebagai seorang tokoh yang disegani kerana memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang menggalas amanah melaksanakan tugas.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi hantaran di Facebook berkata pemergian Abdul Taib yang turut dikenali sebagai Bapa Pemodenan Sarawak itu merupakan satu kehilangan buat negeri tersebut dan juga negara.

"… terlalu banyak jasa dan bakti Allahyarham kepada Bumi Kenyalang. Seorang yang disegani atas perkhidmatan terbaik Allahyarham sepanjang diberikan amanah. Takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham," katanya.

Pada masa sama, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata jasa, sumbangan dan usaha yang banyak disumbangkan oleh Abdul Taib menjadikan beliau seorang tokoh politik hebat dan pemimpin yang dihormati sepanjang menjadi Ketua Menteri Sarawak ke-4 dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-7.

"Berita pemergian Allahyarham merupakan suatu kehilangan besar buat negara, khususnya bagi rakyat Negeri Sarawak. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah," katanya.

Selain itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata banyak jasa Allahyarham Abdul Taib yang telah dicurahkan dalam pembangunan dan pemodenan Sarawak sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada 1981.

Turut menzahirkan ucapan takziah adalah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang masing-masing mendoakan roh Allahyarham Abdul Taib dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pula mendoakan seluruh keluarga Allahyarham Abdul Taib diberikan kekuatan dalam berdukacita atas kehilangan Abdul Taib.

Abdul Taib, 87, meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 4.40 pagi hari ini dan pengurusan jenazah Allahyarham dilakukan di Masjid Negara sebelum dibawa pulang ke Kuching untuk dikebumikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 5:16 PM