Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sidang media di Kementeriannya hari ini. FOTO BERNAMA
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sidang media di Kementeriannya hari ini. FOTO BERNAMA
Samadi Ahmad


Putrajaya: Tiga pemimpin NGO Islam negara ini yang disenaraikan dalam Terrorist Screening Center atau Pusat Pemeriksaan Pengganas (TSC) oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS, disahkan tidak terbabit dalam sebarang aktiviti keganasan.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata semakan KDN mendapati tiga pemimpin itu adalah antara 359 ahli daripada 59 NGO tempatan yang menggerakkan bantuan kemanusiaan di Gaza, Palestin.

"Amerika (AS) dalam proses membuat rang undang-undang berkenaan pencegahan pembiayaan antarabangsa terhadap Hamas. Itu usaha Amerika. Tapi, di pihak Malaysia, kita sedia maklum ada Ops Ihsan yang juga operasi kemanusiaan membantu penduduk Gaza.

"Ini adalah inisiatif kerajaan melibatkan sekumpulan NGO.

Kita akan membuat semakan ke atas individu-individu terbabit supaya tidak ada masalah bila mereka (NGO) mengadakan operasi di sana.

"Berdasarkan kepada semakan polis, tiga badan badan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam Ops Ihsan di Gaza tiada rekod menunjukkan mereka terbabit dengan isu keganasan seperti yang disenaraikan oleh FBI.

"Sebelum operasi itu bermula sudah tentu akan diadakan semakan terlebih dahulu supaya tidak berlaku masalah ketika operasi berjalan," katanya

Sebelum ini media melaporkan, tiga pemimpin daripada NGO Islam berasingan dari negara ini yang aktif dalam menguruskan bantuan ke Asia Barat disenaraikan dalam TSC.

Susulan itu Kementerian Luar mengarahkan ketiga-tiga individu itu tidak dibabitkan dalam Ops Ihsan yang menguruskan penghantaran bantuan kemanusiaan rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin di Gaza.

Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari mengesahkan kesahihan surat pemakluman berkenaan yang diterimanya daripada Kementerian Luar bahagian Asia Barat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 4:31 PM