Keadaan kenderaan mangsa dihempap batu yang jatuh dari atas bukit di Kuala Tomani, Mansaam, Tenom. FOTO Ihsan Bomba
Keadaan kenderaan mangsa dihempap batu yang jatuh dari atas bukit di Kuala Tomani, Mansaam, Tenom. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan


Tenom: Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya dihempap batu yang jatuh dari atas bukit di Kuala Tomani, Mansaam, di sini, hari ini.

Mangsa Ho Ka Cheong, 66, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom Penolong Penguasa Bomba Zainal Sinsian berkata, sepasukan pegawai digerakkan ke lokasi yang terletak 55 kilometer bagi menjalankan operasi menyelamat sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 12.27 tengah hari.

"Kejadian membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dihempap batu yang jatuh dari atas bukit dan terdapat seorang mangsa lelaki di dalam kereta berkenaan.

"Pasukan bomba yang menjalankan operasi terpaksa berhenti sebaik menempuh perjalanan sejauh 45 kilometer dan menaiki kenderaan orang awam sejauh 10 kilometer lagi untuk melalui jalan tidak berturap iaitu laluan lori balak untuk tiba di lokasi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, sebaik ketibaan pasukan bomba di lokasi, operasi mengeluarkan mangsa segera dijalankan dan mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan KKM.

"Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 4:26 PM