JOHARI. FOTO Arkib NSTP
JOHARI. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Yusri Muzamir

Kuala Lumpur: Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani ditawarkan sebagai Pengerusi Bersama bagi Dialog Perhutanan, Pertanian dan Perdagangan Komoditi (FACT).

Pelawaan itu dikemukakan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ailsa Terry ketika membuat kunjungan hormat ke pejabat Johari di Putrajaya, semalam.

Johari berkata, Dialog FACT itu akan dihadiri 30 negara yang mewakili 75 peratus perdagangan agrikomoditi dunia bagi membincangkan amalan terbaik, cabaran serta tindakan realistik dan praktikal.

"Dialog FACT adalah dialog antara kerajaan (G2G) untuk perbincangan mengenai pembasmian hutan, menangani krisis iklim dan biodiversiti serta ke arah amalan guna tanah lebih mapan.

"Dialog FACT yang saya dijemput sebagai pengerusi bersama ini akan membincangkan beberapa isu berkaitan beberapa bidang utama, antaranya pengeksportan komoditi negara dari segi perdagangan dan pembangunan pasaran.

"Selain itu, sokongan pekebun kecil, kebolehkesanan, ketelusan, penyelidikan pembangunan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan inovasi dalam komoditi," katanya dalam muat naik di platform X, hari ini.

Dialog FACT dan hala tuju tindakannya dilancarkan ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Ke-26 di Glasgow, sebelum ini.

Ia adalah sebahagian daripada pengumuman ketika Persidangan Perubahan Iklim PBB mengenai Hutan dan Kelestarian termasuk Deklarasi Pemipin Glasgow mengenai Hutan dan Penggunaan Tanah.

Dialog FACT yanng ketika ini dipengerusikan United Kingdom dan Indonesia bertujuan mewujudkan tekad dalam kalangan negara anggota bagi melindungi hutan dan ekosistem, selain menggalakkan perdagangan dan pembangunan lestari serta menangani krisis iklim dan kepelbagaian biologi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 3:59 PM