- Foto hiasan
- Foto hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Dua rakan dipenjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini selepas didapati bersalah mengedar 0.3 kilogram dadah jenis methamphetamine, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Lee Chuen Hoe, 44, dan Chen Kok Kwong, 59, di akhir kes pembelaan.

"Dadah itu di bawah jagaan dan kawalan tertuduh pertama (Lee) serta tertuduh kedua (Chen) dan mereka mengetahui tujuan dadah itu (untuk diedar). Oleh itu, kedua-dua tertuduh didapati bersalah atas pertuduhan itu.

"Tertuduh pertama (Lee) dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan, manakala tertuduh kedua (Chen) dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Hukuman penjara itu bermula dari tarikh mereka di tangkap pada 21 Jun 2021," katanya.

Selain itu, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh ketiga, So Hoong Piau, 29, selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadapnya.

Pada 2022, ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersama-sama mengedar dadah itu di hadapan sebuah pusat rawatan kiropraktik di Aked Esplanad di Bukit Jalil, pada 6.20 petang, 21 Jun 2021.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang berdepan hukuman mati.

Pada tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan tiga rakan itu membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.

Perbicaraan kes di peringkat pendakwaan bermula 13 Mac 2023 dengan enam saksi memberi keterangan manakala perbicaraan di peringkat pembelaan pada 5 Disember 2023 dan tujuh saksi memberi keterangan termasuk tiga tertuduh itu.

Terdahulu, peguam Syaheera Rosli mewakili Lee memohon hukuman pemenjaraan memandangkan hukuman gantung sampai mati dimansuhkan selain anak guamnya memberikan kerjasama baik sepanjang prosiding.

Sementara itu, peguam Manveer Singh mewakili Chen memohon anak guamnya dikenakan hukuman penjara yang rendah atas faktor usia serta perlu menanggung ibunya.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamed pula memohon kedua-dua tertuduh dijatuhi hukuman mati dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh serta keseriusan kesalahan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 2:53 PM