FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu yang dilancarkan semalam bukan sahaja tertakluk kepada pengamal media arus perdana, malah ia juga perlu diamalkan 'wartawan' warga (citizen journalist) yang terbabit dengan sebarang penyampaian maklumat.

Felo Penyelidik Majlis Profesor Negara Prof Madya Dr Jessica Ong Hai Liaw berkata, kod etika berkenaan yang menggariskan lapan tanggungjawab antaranya berkaitan kesahihan dan ketepatan maklumat serta privasi sumber, adalah elemen penting yang perlu diamalkan.

"Sebagai contoh apabila kita sedang melaporkan berita-berita yang sedih dan ada kalanya mangsa-mangsa ini tidak mahu ditemu bual atau didedahkan identiti mereka, maka tidak perlu untuk kita (media) mengeluarkan nama atau sebagainya (sebaliknya) dengan cara kita sendiri, kita sampaikan maklumat itu dengan tepat dan sahih.

"Cuma saya nampak ada dalam kalangan orang awam yang menyiarkan video tanpa izin, sebagai contoh zaman sekarang ini masing-masing ada kamera di kereta dan sebagainya jadi telah disebarkan, perkara seperti itu perlu diambil berat," katanya ketika menjadi tetamu pada program bual bicara Jendela Fikir terbitan Bernama Radio, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kod etika berkenaan juga dilihat mampu melonjakkan profesionalisme kewartawanan, selain dapat membantu masyarakat untuk mendapatkan maklumat berkaitan sesuatu perkara di saluran yang betul.

"Saya menyeru semua masyarakat untuk melihat kepada berita yang betul... kita ada hak untuk membaca (mana-mana sumber) tetapi kita kena pandai menilai dan celik untuk memilih yang terbaik dan jangan cepat terpengaruh," katanya.

Kod Etika Wartawan Malaysia adalah inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), menggariskan lapan tanggungjawab utama wartawan.

Selain sebagai suara masyarakat majmuk dan menjadi ejen pemudah cara dialog, wartawan juga perlu telus dan berintegriti apabila menjalankan tanggungjawab.

"Mereka juga digalakkan supaya konsisten berlaku adil dalam menyampaikan maklumat dan tidak dipengaruhi oleh kepentingan peribadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 2:46 PM