ZAM Halim ketika menerima panggilan mengejut daripada Razarudin. FOTO Ihsan PDRM
ZAM Halim ketika menerima panggilan mengejut daripada Razarudin. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Selepas beberapa siri lawatan mengejut, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain membuat 'kemunculan' di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini.

'Kemunculan' beliau dibuat menerusi panggilan mengejut kepada Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner (ACP) Zam Halim Jamaluddin.

Menerusi hantaran video di akaun TikTok Razarudin, beliau memberikan penghargaannya kepada 'Cheras 1' (Ketua Polis Daerah Cheras) atas respons pantas bersama pasukannya kepada panggilan pucuk pimpinan pasukan.

"Terima kasih Cheras 1 dan DCC (bilik gerakan) Cheras atas respon yang pantas! Syabas saya ucapkan atas respon pantas KPD (Ketua Polis Daerah) Cheras, ACP Zam Halim bersama pasukannya.

"Saya minta semua pegawai dan anggota bekerja bersama-sama saya demi kebaikan Polis Diraja Malaysia (PDRM), bukan bekerja untuk saya," katanya.

Dalam rakaman berdurasi tiga minit 51 saat di Facebook rasmi PDRM menunjukkan Zam Halim berhubung dengan Razarudin berkaitan penugasan pegawai dan anggota di daerah itu.

Zam Halim turut mengucapkan terima kasih atas nasihat dan bimbingan diberikan Razarudin.

"Kita akan meneruskan pembabitan dengan masyarakat dalam usaha memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.

"Saya bersama Cheras 2 (Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras) akan bersama-sama menyahut saranan daripada Tan Sri (Razarudin) supaya dapat memberikan perkhidmatan terbaik," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Razarudin membuat lawatan mengejut di beberapa IPD termasuk IPD Kajang, IPD Nilai dan IPD Ipoh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 5:46 PM