NADZIRAH yang tidak boleh berjalan kerana patah tulang paha didukung bapa, Ibrahim ketika naik dan turun tangga. FOTO Ihsan Nadzirah Ibrahim
NADZIRAH yang tidak boleh berjalan kerana patah tulang paha didukung bapa, Ibrahim ketika naik dan turun tangga. FOTO Ihsan Nadzirah Ibrahim
Noor Hidayah Tanzizi

Petaling Jaya: "Kenangan tidak mungkin saya lupa apabila abah yang lanjut usia masih ada kudrat mendukung saya ketika naik dan turun tangga sepanjang hampir dua tahun tidak dapat berjalan," kata Nadzirah Ibrahim.

Kisah Nadzirah, 31, yang didukung bapa, Ibrahim Yeop, 61, di rumah mereka di pangsapuri di Kota Damansara di sini, mendapat perhatian netizen di Tiktok yang turut memuji usaha lelaki itu membantu anak dengan kudrat sendiri.

Berkongsi kisah itu, Nadzirah berkata, video berkenaan gabungan beberapa rakaman dikongsikan sepanjang dua tahun dirinya tidak dapat berjalan sebagai kenangan selain penghargaan untuk bapa.

Menurutnya, dia mengalami keadaan itu selepas terbabit kemalangan pada Februari 2022 yang menyebabkan tulang paha kanannya patah sehingga tidak dapat berjalan selain perlu menjalani empat pembedahan memasang besi dengan terkini pada 1 Februari lalu kerana tulangnya dijangkiti kuman.

Katanya, dia dijaga ayah dan ibu, Maimon Isa, 55, di rumah keluarga yang tiada lif dan berada di tingkat empat pangsapuri.

"Abah dukung saya setiap kali naik atau turun tangga apabila kami pergi hospital untuk pemeriksaan dan rawatan.

"Selalu abah berhenti untuk tarik nafas apabila kami sampai di tingkat dua dan kadang-kadang abah jalan terus sampai ke tingkat empat kalau nak cepat.

"Kalau tak dukung, abah dibantu abang ipar mengangkat kerusi roda saya untuk naik tangga," katanya.

NADZIRAH bersama ibu bapa dan suami. FOTO Ihsan Nadzirah Ibrahim
NADZIRAH bersama ibu bapa dan suami. FOTO Ihsan Nadzirah Ibrahim

Katanya, dia pernah berasa bersalah kerana membebankan orang tua sehingga dia pernah mengurangkan berat badan untuk memudahkan kerja lelaki itu mendukungnya.

"Badan abah lebih kurus daripada saya, jadi saya senyap-senyap kurangkan makan supaya ringan, tetapi apabila abah tahu dia bising dan suruh saya makan seperti biasa, malah beritahu dia mampu dukung saya. Itu menjadikan saya lebih semangat mahu cepat pulih.

"Sembilan bulan selepas kemalangan, saya berkahwin dan sempat tinggal bersama suami (Umar Usman Mahamad Dom) yang mengajar di sekolah di Kuching, Sarawak sebelum kembali bersama keluarga untuk meneruskan rawatan dan pembedahan pada awal bulan ini," katanya.

Menurut Nadzirah, dia kini dalam proses pemulihan dan mampu berjalan dengan bantuan tongkat. Bagaimanapun, bapa masih setia di sisi dan sentiasa membantu terutama ketika situasi sukar.

"Pengorbanan mereka tiada ternilai dan semua itu membuatkan saya terus positif. Terima kasih juga doa netizen untuk keluarga kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 7:10 AM