NOORMAN Kamsani. FOTO Mary Victoria Dass
NOORMAN Kamsani. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Cadangan memperkenalkan beras putih Malaysia Madani di pasaran perlu dikaji berikutan ia mungkin mendorong kenaikan harga makanan.

Yang di-Pertua Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Negeri Johor, Noorman Kamsani berkata, beras Madani dilihat lebih kepada penjenamaan semula dengan harga baharu yang lebih mahal daripada harga beras tempatan.

Menurutnya, jika sebelum ini harga beras super tempatan RM26 dengan kadar kandungan beras hancur sekitar 5 hingga 7 peratus bagi pek 10 kilogram, kualiti beras Madani dengan harga RM30 pula sepatutnya mempunyai kandungan beras hancur lebih kurang daripada itu bagi menjamin kualiti.

"Kenaikan harga beras juga boleh memberi kesan domino ke atas kos sara hidup keseluruhan," katanya di sidang media selepas program Grand Food Fest di sini, malam tadi.

Noorman berkata, kenaikan harga beras juga boleh menjejaskan sektor berkaitan dengan pertanian seperti harga makanan haiwan.

Katanya, langkah seperti subsidi makanan, peraturan pasaran, atau kepelbagaian sumber makanan boleh menjadi strategi dalam menghadapi cabaran itu.

Beliau berkata, kerajaan boleh memberi subsidi kepada petani untuk menggalakkan pengeluaran beras atau subsidi kepada pengguna bagi mengurangkan kesan kenaikan harga.

Menurutnya, jika bekalan beras domestik terhad, kerajaan boleh mengimport beras untuk memenuhi keperluan tempatan dan memastikan harga stabil.

"Ketiga kerajaan boleh campur tangan secara langsung dalam pasaran beras dengan menetapkan harga maksimum atau minimum serta mengawal stok.

"Pelaburan dalam pembangunan infrastruktur pertanian seperti pengairan, sistem penyimpanan dan pengangkutan turut boleh membantu meningkatkan produktiviti dan kestabilan bekalan beras.

"Pendidikan dan latihan akan memberi sokongan kepada petani daripada segi teknik pertanian yang lebih cekap dan mampan boleh membantu meningkatkan pengeluaran makanan dan berdikari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 1:11 PM