MOHD Azizi. FOTO Arkib NSTP
MOHD Azizi. FOTO Arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Salah seorang daripada enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membangkitkan persoalan tindakan partinya yang mahu meminda perlembagaan pada Perhimpunan Agung Khas, 2 Mac ini.

Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim secara menyindir berkata, sekiranya pindaan itu dilaksanakan, adakah kelulusan itu dapat diperolehi pada penggal ini.

"Adakah kelulusan itu dapat diperolehi dalam tempoh penggal sekarang? Ini disebabkan pindaan yang dia (Bersatu) mohon beberapa tahun lepas masih lagi belum selesai.

"Kedua sekiranya dibuat, apakah kandungannya yang dia (Bersatu) nak jerat kita? Sebab tak ada bukti yang kita ini keluar parti. Kita (hanya) sokong kerajaan dan bajet. Itu saja," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Bersatu sebelum ini dilaporkan akan mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada 2 Mac ini.

Perhimpunan itu dijangka meminda perlembagaan susulan tindakan enam Ahli Parlimen parti itu menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Anwar.

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar ialah Mohd Azizi, Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Mohd Azizi berkata, sebarang pindaan mahu dibuat partinya itu memerlukan kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan kebiasaannya ia mengambil masa yang lama.

Beliau juga mempersoalkan Perhimpunan Agung Khas yang akan dibuat itu mahu memfokuskan kepada pindaan perlembagaan parti atau sebaliknya.

"Kita pun tak pasti sama ada Perhimpunan Agung Khas yang mereka nak buat pada 2 Mac nanti adakah betul-betul nak fokuskan kepada pindaan.

"Ini disebabkan ada sesuatu yang lebih kepada konflik kepentingan dalam kalangan dua pimpinan tertinggi," katanya yang tidak mendedahkan siapakah pimpinan itu.

Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian pula berpandangan, pindaan perlembagaan mahu dilakukan oleh Bersatu itu tidak akan menggugat enam Ahli Parlimen yang menyokong Anwar.

Menurutnya, ini disebabkan pindaan itu dibuat selepas enam Ahli Parlimen berkenaan menyokong Perdana Menteri.

"Bagi saya, keenam-enam itu tidak tergugur (sebagai Ahli Parlimen). Tetapi ia masih boleh diperdebatkan. Dalam konteks perundangan banyak perkara boleh ditelusi," katanya.

Selain itu katanya, jika mengikut Akta Lompat Parti, mereka yang dipecat juga tidak akan hilang kerusinya.

"Jadi apakah akan wujud satu lagi polemik perundangan? Sama ada Akta Lompat Parti lebih besar daripada pindaan parti atau pindaan parti lebih besar daripada larangan Akta Lompat Parti.

"Ini disebabkan Akta Lompat Parti ini jelas. Mereka yang dipecat tidak akan hilang kerusi melainkan mereka sendiri memilih untuk keluar.

"Kalau mereka memilih untuk keluar parti, kerusi itu akan kosong secara automatik. Dalam konteks ini, keenamnya hanya menyatakan sokongan (dan) tidak keluar parti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 1:31 PM