LOGO FBI pada bangunan J Edgar Hoover di Washington, DC. FOTO AFP
LOGO FBI pada bangunan J Edgar Hoover di Washington, DC. FOTO AFP
Nor Azizah Mokhtar

Kuala Lumpur: Tiga pemimpin daripada badan bukan kerajaan (NGO) Islam berasingan dari negara ini yang aktif dalam menguruskan bantuan ke Asia Barat disenaraikan dalam Terrorist Screening Centre atau Pusat Pemeriksaan Pengganas (TSC) oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Susulan itu Kementerian Luar mengarahkan ketiga-tiga individu berkenaan tidak dibabitkan dalam Ops Ihsan yang menguruskan penghantaran bantuan kemanusiaan rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin di Gaza.

Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari mengesahkan kesahihan surat pemakluman berkenaan yang diterimanya daripada Kementerian Luar bahagian Asia Barat, kelmarin.

Menurut beliau, surat berkenaan adalah pemakluman secara rasmi daripada Kementerian Luar namun tidak menyangka dokumen berkenaan dibocorkan dan ditularkan di media sosial.

"Surat itu memaklumkan tiga individu berkenaan dalam senarai TSC FBI, untuk pemakluman sahaja. Tak tahulah siapa yang membocorkan surat itu.

"Surat berkenaan sahih. Surat berkenaan adalah surat pemakluman daripada Kementerian Luar bahagian Asia Barat kepada saya," katanya kepada BH.

Untuk rekod, Ops Ihsan diilhamkan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, sebagai satu usaha kerjasama antara Kementerian Luar dan NGO bagi menggerakkan sokongan dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Ops Ihsan diselaraskan Kementerian Luar, diketuai Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) bersama lebih 50 NGO lain, termasuk Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Red A Humanitarian Development Global, Mercy Malaysia, Pertubuhan Ihsan Johor dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Jismi berkata, selepas menerima surat pemakluman berkenaan, pihaknya merancang mengadakan mesyuarat bersama Sekretariat Induk Ops Ihsan Isnin ini untuk membincangkan sebarang bentuk tindakan lanjut.

"Saya perlu berbincang dengan ahli sekretariat dan jawatankuasa Ops Ihsan untuk tindakan seterusnya dan bercadang menghubungi tiga NGO terbabit serta tiga penama itu bahawa mereka tersenarai dalam senarai pemerhatian FBI.

"Kita tidak mahu perkara ini menjadi kecoh namun saya tidak sempat berbuat demikian kerana surat berkenaan terlebih dahulu dibocorkan," katanya.

Jismi berkata, buat masa ini penyenaraian tiga nama individu terbabit dalam senarai TSC berkenaan tidak akan menjejaskan kerja dan operasi Ops Ihsan yang sedang dijalankan atau akan dijalankan.

"Operasi Ops Ihsan hanya membabitkan NGO dan tiga individu ini tidak terbabit secara langsung pun dengan perjalanan Ops Ihsan, yang terbabit adalah organisasi (NGO) mereka," katanya.

Mengulas lanjut, Jismi berkata, pihaknya kesal dengan pembocoran dan penularan surat berkenaan yang disifatkan sebagai satu perkara yang tidak wajar berlaku kerana boleh memberi persepsi negatif terhadap tiga individu terbabit.

"Saya cuma kecewa kerana surat itu ditularkan sebab nama-mana individu itu dipamerkan... ia melibatkan peribadi dan juga kerahsiaan identiti, maka ia akan memberi impak kepada individu berkenaan.

"Sebolehnya saya tidak mahu perkara ini menjadi kecoh. Tetapi bila surat ini sudah keluar (tular), kesianlah pada mereka. Mereka terpaksa menjawab, persepsi orang terhadap mereka itu yang kita tidak mahu kita pun tak tahu tahap siasatan FBI ini, mungkin disyaki sahaja.

"Mereka pun tidak tahu bagaimana mereka bertiga boleh termasuk dalam senarai itu. Saya memilih untuk bersangka baik sahaja," katanya.

Pada Disember tahun lalu, Pengarah FBI, Christopher A Wray datang ke Malaysia dan membuat beberapa kunjungan hormat ke beberapa agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia selain mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Difahamkan, pertemuan adalah perbincangan susulan daripada pertemuan Saifuddin dan Christopher di Washington pada 23 September tahun lalu bertujuan membincangkan kerjasama risikan, pengurusan kes berprofil tinggi serta aspek pembangunan kapasiti antara Malaysia dengan AS.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 5:46 PM