BARAA El Ghalayani menangis kesal dengan nasib menimpa penduduk Gaza. FOTO Instagram Baraa El Ghalayani
BARAA El Ghalayani menangis kesal dengan nasib menimpa penduduk Gaza. FOTO Instagram Baraa El Ghalayani
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Ungkapan anak kecil ini, dia tidur di bawah trak supaya boleh mengikuti jejak langkah keluarganya yang syahid, menyentap hati nurani lelaki Palestin ini.

Baraa Shaheen yang berpindah ke Rafah di sempadan Mesir selepas kediamannya di utara Gaza musnah dibedil tentera Israel, berkongsi keperitan dilalui penduduk yang berlindung di khemah penempatan Rafah.

"Hari ini, apabila saya bangun dan melangkah keluar dari khemah untuk mengecas telefon, saya tengok seorang anak kecil umur enam tahun tidur di bawah trak di tepi jalan.

"Saya membangunkannya dan bertanya sebab dia tidur situ tetapi jawabnya seluruh keluarganya meninggal dunia di Rafah.

"Dia cakap dia duduk bawah trak supaya orang tak dapat melihatnya dan melanggarnya seterusnya dia boleh 'bertemu' dengan keluarganya," katanya dalam kemas kini di Facebooknya, semalam.

Katanya, bimbang sesuatu berlaku kepada anak kecil itu, dia membawanya ke pusat perubatan yang disediakan di penempatan itu untuk mendapatkan bantuan sewajarnya.

"Kanak-kanak itu sangat pucat. Saya membawanya ke pusat perubatan supaya mereka boleh menghubungi saudara-maranya atau membantunya.

"Tidak lama selepas itu, saya datang balik ke situ tetapi doktor memberitahu kanak-kanak itu meninggal dunia akibat terlampau sejuk," katanya.

Katanya, senario itu realiti yang berlaku kepada penduduk Gaza di khemah Rafah apabila berdepan kelaparan dan kesejukan melampau.

Tanpa mengira sebarang pangkat atau status, katanya, penduduk Gaza yang berpindah ke Rafah terpaksa membiasakan diri dengan keadaan serba kekurangan dan bekalan asas terhad.

"Kami melalui hari-hari sukar dalam khemah dengan angin kencang dan hujan.

"Tangisan anak kecil kelaparan meminta makanan sudah biasa kami dengar, malah ramai kanak-kanak selsema dan jatuh sakit selain penyakit berjangkit sana sini," katanya.

Kini katanya, ketika mereka masih menyesuaikan diri dengan kesulitan itu, mereka mula diancam serangan tentera Israel yang boleh berlaku bila-bila masa saja.

"Bunyi pesawat tempur di atas khemah kami dan peluru berpandu di sana sini.

"Keadaan semakin teruk dengan adakalanya kami rasa macam sudah tidak tertanggung lagi," katanya.

Sementara itu, Baraa El Ghalayani pula menyatakan kekecewaannya apabila Rafah yang menjadi harapan terakhir mereka kini turut menjadi sasaran tentera Israel.

"Kami hilang segala-galanya rumah, tanah, kereta, pekerjaan dan perniagaan kami di utara.

"Dari satu tempat ke satu tempat kami berpindah ke selatan kerana ia selamat.

"Rafah harapan terakhir kami tetapi mereka suruh kami tinggalkan sini dan pergi tempat lain? Mana kami nak pergi?" katanya menangis dalam rakaman video yang tular di media sosial.

Minggu ini, Rafah yang dikatakan koridor selamat menjadi sasaran terbaru rejim Zionis selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengarahkan operasi ketenteraan di bandar itu kononnya menghapuskan benteng terakhir kumpulan pejuang Hamas.

Netanyahu menyasarkan operasi ketenteraan darat di bandar berkeluasan kira-kira 64 kilometer persegi itu selesai sebelum umat Islam menyambut Ramadan.

Dilaporkan lebih 1.5 juta penduduk Gaza sedang berlindung di Rafah selepas dipaksa berpindah dari kediaman masing-masing sehingga menyaksikan bandar itu kini padat serta serba kekurangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 3:34 PM