MOHD Uzir. FOTO BERNAMA
MOHD Uzir. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Bentong: Sebanyak 1.2 juta penjawat awam di seluruh negara sudah mendaftar dengan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) setakat hari ini, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Mohd Uzir berkata jumlah itu adalah kira-kira 80 peratus daripada 1.5 juta penjawat awam yang direkodkan malah pencapaian itu amat membanggakan dan beliau berterima kasih atas komitmen kakitangan kerajaan yang memberikan kerjasama yang baik.

"Tahniah yang telah bersama-sama dalam memastikan penjawat awam menjadi antara golongan di hadapan bantu pendaftaran PADU berjalan lancar...dan mana-mana yang belum mendaftar mungkin akibat kekangan tugas, kami akan cuba bantu mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama semasa turun padang memberi penerangan mengenai PADU kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Penjuring di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Pahang Razaman Ridzuan.

Media sebelum ini melaporkan, semua penjawat awam diminta mengemas kini maklumat dan data dalam sistem PADU dengan kadar segera, selewat-lewatnya pada 15 Februari.

Setakat semalam, jumlah individu yang telah mengemas kini maklumat di sistem PADU adalah 3.43 juta.

Mengulas mengenai pembabitan Orang Asli dalam mendaftar sistem PADU, Mohd Uzir berkata setakat ini lebih separuh daripada kira-kira 220,000 masyarakat itu sudah mendaftar dan pihaknya berterima kasih atas kerjasama yang baik daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

"Pahang mempunyai paling banyak Orang Asli kira-kira lebih 80,000 orang, Terengganu pendaftaran mereka (Orang Asli) hampir selesai...Pahang bilangan banyak jadi kami jangka selesai dalam tempoh seminggu, dua lagi.

"DOSM akan teruskan untuk mendekati golongan ini, kerana bagi kami setiap orang penting berikutan pembangunan negara kita berbentuk inklusif dan pujian harus diberikan kepada masyarakat ini kerana mereka sering mengingati sesama sendiri untuk mengisi PADU," katanya.

Berbaki lebih 40 hari lagi untuk mendaftar sistem tersebut, Mohd Uzir sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya berbuat demikian bagi mengelakkan berlaku kesesakan sistem.

Sementara itu, di Pahang sebanyak 209 kaunter fizikal dibuka sehingga hari ini di beberapa lokasi antaranya di Pusat Ekonomi Digital (PEDi), Pejabat Daerah dan Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan serta masjid dan terkini lebih 184,822 individu direkodkan mengemas kini maklumat di sistem itu.

Selain itu, DOSM Pahang turut melaksanakan lebih 1,000 sesi turun padang bagi menyampaikan maklumat dan membantu penduduk mengemas kini maklumat menerusi sistem PADU.

Sistem PADU dilancarkan pada 2 Januari lalu dan rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas boleh membuat pendaftaran dan kemas kini maklumat individu sehingga 31 Mac.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 3:13 PM