RAMLI pada sidang media Jabatan Siasatan Jabatan Komersil Bukit Aman di Menara KPJ, hari ini. FOTO Aziah Azmee.
RAMLI pada sidang media Jabatan Siasatan Jabatan Komersil Bukit Aman di Menara KPJ, hari ini. FOTO Aziah Azmee.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Empat 'scammer' yang dikehendaki pihak berkuasa Taiwan dicekup bersama empat warga tempatan dalam serbuan ke atas dua premis berasingan di sekitar ibu negara di sini pada 30 Januari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lelaki warga Taiwan itu disyaki berada di ibu negara untuk membuka hab pusat panggilan penipuan di ibu negara.

Menurutnya, pihaknya berjaya memberkas kesemua suspek terbabit, beberapa hari selepas mereka mendarat di Kuala Lumpur, hasil kerjasama proaktif dengan pihak berkuasa Taiwan.

"Berdasarkan perkongsian maklumat dengan pihak Polis Taiwan kesemua empat warga asing berkenaan adalah berstatus dikehendaki atas jenayah penipuan dan jenayah terancang.

"Kesemua mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada 13 Februari untuk proses selanjutnya," katanya pada sidang media di Menara KPJ di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan dalam talian, AccerX yang mempromosikan pelaburan berasaskan mata wang kripto.

Katanya, polis menahan 43 suspek terdiri daripada 35 lelaki dan lapan wanita berusia lingkungan 21 hingga 78 tahun dalam operasi berasingan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, dan Sarawak.

"Kesemua yang ditahan disyaki berperanan sebagai pengarah syarikat, pemilik perniagaan, setiausaha syarikat dan pemilik keldai akaun yang digunakan untuk menipu mangsa.

"Untuk rekod sehingga kelmarin, sejumlah 135 laporan polis diterima berkaitan skim penipuan itu dengan nilai kerugian keseluruhan RM93.26 juta," katanya.

Katanya, kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 1:27 PM