Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada  Persidangan Antarabangsa Zakat Pulau Pinang 2024 di Dewan Tunku Syed Putra, USM di sini hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Persidangan Antarabangsa Zakat Pulau Pinang 2024 di Dewan Tunku Syed Putra, USM di sini hari ini. FOTO MIKAIL ONG
M Hifzuddin Ikhsan dan Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan individu yang diamanahkan mengurus zakat, namun melakukan khianat dan cuai dalam tugasnya sebagai kejam.

Perdana Menteri berkata, ini kerana institusi zakat bukan sekadar menjadi kepada pendapatan negara namun ia turut berfungsi dalam membina kekuatan ummah termasuk berkait rapat dengan usaha membasmi kemiskinan.

"Sebab itu kejam sekali bagi orang yang mengurus zakat, tetapi cuai dan khianat kerana institusi ini terlalu penting dalam membina kekuatan sehingga peperangan diisytihar kepada mereka yang enggan membayar zakat.

"Mengikut kupasan (Syeikh Yusuf Abdullah) al-Qaradawi, kali pertama dalam sejarah umat manusia peperangan pernah diisytiharkan terhadap golongan yang ingkar menegakkan institusi zakat kerana kaitannya dengan pembelaan nasib rakyat miskin.

"Dalam berbicara soal zakat di negeri, walaupun bidang kuasa negeri, saya tidak boleh terima kenyataan bahawa ada negeri yang boleh mengumpul dana zakat yang besar tetapi masih ada kelompok miskin tegar," katanya.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dalam Persidangan Antarabangsa Zakat Pulau Pinang 2024 di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamed Abdul Hamid.

Anwar berkata, persidangan berkenaan penting dalam mengukuhkan institusi zakat, sekali gus membina kekuatan ekonomi Islam yang memikirkan soal kesenjangan dan kemiskinan rakyat di negara ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan, pengurusan zakat harus berpandukan prinsip tata kelola yang baik dengan setiap sen yang dikutip atas nama zakat harus dimanfaatkan sepenuhnya.

"Praktik dan pengalaman ini harus kita manfaatkan seperti bukan ekadimensi, tetapi pelbagai dimensi dengan sasaran yang jelas untuk membantu rakyat yang ketinggalan dan terpinggir serta tersisih di arus perdana.

"Saya aneh, negara kaya macam mana pun, kutipan zakat berbilion tak mungkin berhasil menyelenggara dan menyelesaikan sebahagian besar masalah kalau tidak diurus dengan baik.

"Zakat bukan sahaja agenda ekonomi tetapi juga membawa agenda sosial yang dekat dengan hati nurani dan jiwa saya sebab itu bila ambil alih jawatan pengumuman pertama saya ialah menoktahkan kemiskinan. Jadi harus suatu penambahbaikan dilakukan segera," katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengarahkan Mohamed Abdul Hamid yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, menyerahkan laporan berhubung jumlah penduduk di negeri itu yang masih dibelenggu kemiskinan tegar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 1:11 PM