GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Seorang wanita cedera di tangan selepas dipercayai terkena pedang samurai dalam cubaan samun di hadapan sebuah kedai dobi di Masjid Tanah, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.15 pagi itu, kereta dipandu mangsa berusia 36 tahun dikatakan tiba-tiba dihalang sebuah kereta BMW di hadapan premis berkenaan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, berdasarkan laporan mangsa menyatakan kemudian dua lelaki bersenjatakan pedang samurai turun daripada kenderaan itu dan memecahkan tingkap hadapan, kiri dan kanan sehingga terkena tangan pengadu.

"Akibatnya, wanita itu cedera di tangan namun dalam keadaan cemas itu mangsa sempat mengundurkan kereta Proton Saga dalam usaha untuk menyelamatkan diri sebelum terlanggar sebuah kereta di tepi jalan.

"Pengadu kemudian terus memandu ke Balai Polis Masjid Tanah pada jam 6.30 pagi dalam keadaan cedera," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zainol berkata, hasil siasatan mendapati, mangsa tidak mengenali dua individu yang menyerangnya itu kerana tidak bergaduh dengan sesiapa kebelakangan ini.

"Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Masjid Tanah namun dirujuk ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Kes tidak membabitkan sebarang kehilangan barang milik pengadu dan disiasat mengikut Seksyen 393/427 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk menyalurkan kepada polis di talian 06-5562222.

Terdahulu, tular video berdurasi 29 saat hari ini mengenai kejadian itu yang didakwa berlaku kira-kira 6.16 pagi berhampiran sebuah bank di Masjid Tanah.

Berdasarkan rakaman itu, kelihatan dua lelaki bertopeng dan bersenjata parang sedang mendekati kereta dipandu individu berkenaan sambil seorang daripadanya cuba membuka pintu bahagian pemandu.

Bagaimanapun, pemandu berkenaan sempat mengundurkan kereta sehingga merempuh sebuah kenderaan lain yang diletakkan di hadapan premis bersebelahan bank berkenaan.

Kedua-dua lelaki bertopeng itu kemudian dilihat menaiki sebuah kenderaan lain yang menunggu di bahu jalan dan bergerak ke arah bertentangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 6:18 PM