TANGKAP layar video tular kejadian pergaduhan di sebuah premis di Taman Sutera, Skudai.
TANGKAP layar video tular kejadian pergaduhan di sebuah premis di Taman Sutera, Skudai.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Perselisihan faham menjadi punca sekumpulan lelaki dan wanita bergaduh dalam sebuah premis di Taman Sutera, Skudai di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Belveer Singh Mahindar Singh berkata, kejadian pada 12.05 tengah malam itu membabitkan 11 suspek lelaki dan wanita berusia antara 22 sehingga 33 tahun.

Beliau berkata, anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara maklum berkaitan kejadian itu menerusi suatu video berdurasi tiga minit dua saat yang tular dalam media sosial.

"Susulan laporan kejadian itu 11 suspek terbabit ditahan pada hari sama dan direman hingga hari ini.

"Tahanan reman kedua pula dibenarkan sehari sehingga esok," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes terbabit diminta menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Masrain Aman menerusi talian 013-8543148.

"Orang awam dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam dan menyerahkannya kepada pihak polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2024 @ 11:19 PM