GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Klang: Polis memberkas tiga suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian samun bersenjata di Jeti Pelabuhan Klang, di sini, Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, suspek diberkas susulan laporan daripada mangsa, seorang lelaki warga asing yang mendakwa disamun beberapa lelaki dipercayai warga tempatan.

"Siasatan mendapati, kira-kira jam 2.30 petang, mangsa dan dua rakan mendakwa ditahan tiga suspek ketika berjalan di kawasan Pulau Ketam.

"Menurut mangsa, seorang daripada suspek mengacukan sebilah pisau dan menampar rakan mangsa di pipi.

"Suspek kemudian memeriksa badan mereka dan mengambil telefon bimbit, salinan pasport serta wang tunai milik mangsa dan rakannya.

"Kemudian, suspek terus menaiki bot menuju ke Jeti Pelabuhan Klang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu Kamalariffin berkata, sepasukan polis dari Balai Polis Pelabuhan Klang menangkap tiga suspek yang berusia antara 29 hingga 33 tahun serta merampas barang milik mangsa dan rakannya kira-kira 4 petang hari sama.

"Hasil semakan mendapati, kesemua suspek mempunyai 14 rekod jenayah lampau. Salah seorang suspek itu mempunyai dua rekod dikehendaki iaitu kes mendatangkan kecederaan dengan senjata dan kes samun di kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

"Bagi kes ini, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkawan dengan senjata.

"Semua suspek direman selama sehari. Pegawai penyiasat dalam usaha melengkapkan siasatan dan akan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat untuk arahan lanjut," katanya.

Katanya, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan bagi membantu siasatan di talian 03-33762222.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 7:06 PM