WAN Murni Wan Ngah menguruskan anaknya Muhammad Amirul yang terlantar berikutan saluran darah ke otak pecah. FOTO Nazdy Harun
WAN Murni Wan Ngah menguruskan anaknya Muhammad Amirul yang terlantar berikutan saluran darah ke otak pecah. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Petronas komited membantu penuntut tajaannya bukan sahaja dalam bidang akademik, malah ketika dalam keadaan sukar apabila menerima musibah.

Petronas dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya sedia maklum berhubung keadaan kesihatan Muhammad Amirul Nazmi Sam, 20, yang kini terlantar akibat saluran darah ke otak pecah.

Menurut kenyataan itu, Muhammad Amirul adalah seorang pelajar tajaan Petronas yang kini terlantar di rumahnya di Kampung Jaba, Bukit Apit, Ajil dan menerima sokongan perubatan dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

"Sejak penuntut itu dimasukkan ke hospital kami terus memantau keadaannya dengan teliti bagi menyediakan bantuan sewajarnya dalam usaha membantu pemulihan.

"Keutamaan kami adalah kesejahteraan dan pemulihan penuntut tajaan kami, dan kami bersedia untuk memberi bantuan sewajarnya dalam situasi yang sukar," katanya hari ini.

Akhbar ini, hari ini melaporkan mengenai seorang penuntut tajaan Petronas, yang kini hanya mampu terlantar akibat saluran darah ke otaknya pecah.

Muhammad Amirul disahkan mengalami saluran darah pecah selepas pengsan pada 18 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 6:27 PM