Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama bergerak perlahan terutama di kawasan mendaki berikutan pertambahan kenderaan apabila orang ramai mula pulang ke destinasi masing-masing selepas cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

Jurucakap Plus Malaysia Berhad (Plus) berkata, aliran trafik bergerak perlahan arah Selatan dari Kuala Kangsar ke Terowong Menora setakat jam 3.42 petang.

Menurutnya, trafik juga perlahan dari Permatang Pauh ke Perai setakat jam 4.01 petang manakala pergerakan kenderaan pada 4.17 petang perlahan arah selatan dari Changkat Jering ke Kuala Kangsar.

"Trafik juga bergerak perlahan arah selatan dari Yong Peng ke Simpang Rengam , Simpang Ampang ke Port Dickson dan Yong Peng ke Sedenak," katanya.

Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, trafik bergerak perlahan berikutan pertambahan kenderaan dari arah Barat iaitu sepanjang 13 kilometer (km) di KM 74.8 ke Plaza Tol Bentong (Karak ke Bentong).

"Trafik juga bergerak perlahan sepanjang 3.2 km dari Plaza Tol Bentong ke KM 58.6 dan antara KM 57 ke KM 50.8 sepanjang 6.2 km.

"Aliran trafik juga bergerak perlahan sejauh 1.5 km dari KM 39.4 ke KM 37.9 (Genting Sempah) dan KM 34.1 ke Plaza Tol Gombak sejauh 14.3 km," katanya.

SITUASI aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur mulai perlahan menuju ke ibu kota. FOTO Bernama
SITUASI aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur mulai perlahan menuju ke ibu kota. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 5:00 PM